Amilin dipesan supaya aktif tanpa tunggu hari tua

- Advertisement -

PASIR MAS: Dewan Muslimat PAS Malaysia telah mengadakan kunjungan ziarah ke atas amilin yang juga bekas pimpinan dewan itu, Sakinah Awang di kediamannya di Kampung Meranti, di sini semalam.

Ketua Muslimat PAS Malaysia, Ustazah Nuridah Mohd Salleh bersama rombongan hadir menemui Sakinah yang kini sedang kritikal keadaan kesihatannya dan masih perlu menjalani rawatan secara berkala.

Dalam masa sama si ibu ini juga diuji dengan anaknya, Abdullah Faheem Rosli yang baharu sahaja menjalani pembedahan apendiks dan telah dibenarkan pulang setelah lapan hari rawatan di Kota Bharu.

Sakinah semasa menetap di Ibu Negara merupakan amilin aktif di mana pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Ketua Muslimat PAS Kawasan Batu dan Ahli Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan.

Beliau setelah tamat pengajian sekitar tahun 1980-an lagi sudah diberi kepercayaan sebagai Penolong Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pusat yang ketika itu diketuai oleh Ustazah Wan Asma’ Wan Abdul Kadir.

Jawatan terakhir beliau yang mesra dipanggil Kak Kinah sebelum berpindah kembali menetap ke bumi Serambi Makkah ini adalah Naib Ketua Muslimat PAS Wilayah Persekutuan.

Ketika menerima kunjungan ziarah tersebut, beliau sempat menitipkan pesanan bermakna buat semua amilin umumnya supaya memulakan gerak kerja jemaah sewaktu muda dan sihat kerana sakit tidak datang mengira usia.

“Jangan tunggu tua atau sudah pencen baru nak aktif,” pesan beliau yang turut menerima sumbangan daripada Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Muslimat PAS Malaysia, Dewan Muslimat PAS Wilayah Persekutuan dan Dewan Muslimat PAS Batu.

Ustazah Nuridah yang ditemani Pengarah Pilihan Raya Muslimat PAS Wilayah Persekutuan, Zurina Din dalam pada itu menyeru untuk ahli-ahli Muslimat mendoakan Sakinah agar kembali sembuh dan dipermudahkan urusannya. – HARAKAHDAILY 21/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -