KUALA LUMPUR: Laporan kajian Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) mendapati lebih 12.3 peratus kanak-kanak dan remaja berusia 10 hingga 17 tahun yang mendiami Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Lembah Klang mengalami masalah kesihatan mental dan cenderung untuk membunuh diri.
Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) berkata, masalah kesihatan mental dan bunuh diri itu berpunca daripada kepadatan PPR.
“Saya faham isu ini tentu melibatkan rentas kementerian, kesihatan, kebajikan dan sebagainya.
“Tetapi bila saya baca puncanya ialah soal kepadatan di PPR, dari sudut pandang KPKT (Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan) bagaimana untuk menangani isu kepadatan ini supaya tidak membawa kepada isu kesihatan mental dan juga membunuh diri yang berlaku di kalangan kanak-kanak dan remaja di PPR,” soalnya.
Beliau berkata demikian semasa mengajukan soalan tambahan kepada Timbalan Menteri KPKT, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, pada sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab perkara itu, Akmal Nasrullah berkata, masalah yang berlaku di PPR adalah realiti sedia ada terutama di Lembah Klang yang mungkin berusia.
“Kalau saya tengok report itu banyak yang mereka lakukan kajian tu di PPR lama. Jadi sementara kita boleh rancang infra yang baru, untuk keadaan yang sedia ada ini dalam soal program-program untuk mendaya bumi ataupun meningkatkan keupayaan komuniti.
“Ini bukan sahaja soal masa depan kanak-kanak kita tengok juga soal keselamatan dan lain-lain perkara,” katanya.
Ahmad Fadhli dalam soalan asal meminta Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan berapa anggaran jumlah rumah mampu milik yang diperlukan di Negeri Kelantan pada waktu ini dan berapa anggaran jumlah rumah mampu milik di negeri itu yang sedang dibina oleh pihak kementerian pada waktu ini. – HARAKAHDAILY 20/3/2023