Projek Tebatan Banjir: Penting dan segera!

- Advertisement -

MENURUT Perdana Menteri ke-10 (PMX), projek tebatan banjir akan diteruskan dengan menggunakan kaedah ‘fast-track’ melalui tender terhad, bukannya runding terus sepertimana dipraktikkan oleh kerajaan sebelum ini. Hal ini disebabkan rundingan terus membabitkan kos yang tinggi berbanding kos tender terhad yang dikatakan lebih rendah.  Oleh itu, kerajaan telah mengumumkan enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewat-lewatnya pada Jun tahun 2023.

Perlu difahami bahawa sama ada rundingan terus atau tender terhad, kedua-duanya merupakan proses perolehan yang sah di sisi undang-undang. Namun apa yang menjadi persoalan, adakah ada isu lain di sebalik kaedah rundingan terus yang dibangkitkan oleh PMX? 

Hal ini kerana melihat kepada kriteria rundingan terus yang digariskan dalam Perbendaharaan Malaysia, projek tebatan banjir yang telah dipersetujui oleh kerajaan sebelum ini menepati kriteria untuk dilaksanakan menerusi kaedah tersebut. Salah satu kriteria untuk menggunakan kaedah rundingan terus ialah kesegeraan atas kepentingan awam (rujuk Rundingan Terus  Pekeliling Perbehandaraan Malaysia).

Menurut bekas Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, projek yang dimaksudkan ini termasuklah yang membabitkan soal kecemasan seperti banjir, empangan pecah dan tanah runtuh bagi mengurangkan impak bencana yang lebih besar dan menanggung kerugian yang lebih banyak. Disebabkan projek tebatan banjir ini perlu dilaksanakan dengan segera, maka kaedah rundingan terus digunakan bagi membolehkan persediaan untuk menghadapi banjir dijalankan dengan lebih awal  untuk mengelakkan kesan yang jauh lebih buruk lagi.

Namun, itu bukanlah bermaksud kita membiarkan sahaja kos projek itu melambung tinggi apatah lagi jika ia menguntungkan pihak tertentu. Perlu diakui, mana-mana sahaja kaedah yang digunakan, mekanisme pengawalan dan pemantauan kos perlu tetap dilakukan kerana isu penyelewengan ini boleh sahaja wujud pada kedua-dua kaedah tersebut.

Sudah tentu bagi projek tebatan banjir ini, apa yang menjadi keutamaan ialah kesegeraan melaksanakan projek tersebut. Sekiranya dijalankan dengan menggunakan kaedah ‘fast-track’ melalui tender terhad ini, adakah projek ini mampu mencapai matlamat untuk menjaga kemaslahatan awam ?

Walaupun begitu, sekiranya projek tersebut tidak berjalan seperti yang dirancangkan, kerajaan juga perlu menanggung kos untuk menangani impak negatif akibat masalah yang berlaku semasa dan selepas banjir nanti. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kerugian akibat banjir mencecah RM6.1 bilion pada tahun 2021 dan RM622.4 juta pada tahun 2022. Ini hanyalah jumlah kerugian dari sudut material, belum lagi mengambil kira sudut lain seperti kehilangan nyawa dan emosi mangsa banjir. 

Jumlah kerugian yang tinggi ini menjadi faktor pendesak kepada tindakan segera yang perlu diambil oleh kerajaan pada waktu itu. Berbaloikah kelewatan ini berlaku sedangkan pada masa yang sama, rakyat berdepan dengan kesusahan dan kerajaan perlu menanggung kos yang lebih tinggi? 

Jika kebimbangan PMX sebenarnya adalah penyelewengan yang mungkin timbul disebabkan kesempatan yang sengaja diambil oleh pihak berkepentingan melalui rundingan terus itu, tindakan yang sewajarnya adalah dengan memastikan semua proses kawal selia prosedur kewangan diteliti secara ketat mengikut tatacara, prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan. 

Pada akhirnya, semua ini nampaknya terletak kepada kebijaksanaan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan untuk mencatur strategi dalam menangani isu banjir.  Janganlah disebabkan perbezaan politik, bukan sahaja segala usaha baik Kerajaan terdahulu dibuang bahkan kepentingan rakyat turut dikesampingkan.

AMALINA BORHAN
Kluster Ekonomi Jabatan Profesional Muda (JPro)

Rujukan: 

Berita Harian (6 Disember 2022): https://www.bharian.com.my/amp/berita/nasional/2022/12/1036050/anwar-patut-tahu-ada-projek-perlu-rundingan-terus-kurangkan-bencana 

Jabatan Perangkaan Malaysia (23 Februari 2023): https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/pdfPrev&id=RDVmbnlKUk1rdzRaZmhpK1F6SEZCUT09 

Kementerian Kewangan Malaysia (24 Februari 2023): https://budget.mof.gov.my/manfaat/article/Belanjawan-2023-projek-tebatan-banjir.html 

Pekeliling Perbendaharaan Malaysia (29 November 2022): 
https://ppp.treasury.gov.my/sub-topik/fail/216/muat-turun

Suara Keadilan: 
https://www.suarakeadilan.my/amp/bukan-batalkan-tebatan-banjir-batal-projek-runding-terus-anwarHARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -