Pertahankan Malaysia yang aman dan stabil

- Advertisement -

TOLERANSI beragama dan hormat menghormati antara satu dengan lain telah wujud dalam negara sejak zaman nenek moyang kita.

Kita akui wujud perbezaan budaya dan kepercayaan sesama kita, namun tidak pernah jadikan ia penghalang  dalam kehidupan bermasyarakat ke arah pembentukan sebuah negara yang stabil dan bersatu-padu.

Hubungan antara kaum yang berbeza agama kekal harmoni sejak dahulu.

Masalahnya apabila ada pihak yang atas nama liberalisme dan kebebasan beragama mahu mengambil kesempatan dengan melangkaui batas adab yang telah sekian lama kita hormati.

Agenda memberi ruang mendakyah agama dan kepercayaan lain ke atas penganut Islam dalam pelbagai pendekatan halus sangat dikesali dan tidak boleh diterima.

Faham-memahami perbezaan sesama kita lantas menghormatinya sudah menjadi amalan sekian lama dalam negara kita yang aman ini.

Namun sebarang usaha halus dalam apa sahaja bentuk untuk mempengaruhi umat Islam agar meragui apa lagi merubah aqidah mereka sangat dikesali dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Malaysia harus kekal serta dipertahankan sebagai sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dan agama, cukup matang dan boleh hidup dengan makmur atas tanah air bertuah ini tanpa perlu ada mana-mana anasir yang cuba mengganggunya.

Malaysia aman dan sejahtera bebas dari pengaruh dan agenda asing.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -