Pemimpin PKR disaran teliti isu sensitiviti umat Islam

Dato' Ahmad Yahaya
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kenyataan Pengarah Jabatan Pemahaman dan Pemantapan Agama PKR Amidi Abdul Manan, kononnya parti itu tidak mempolitikkan agama dianggap tidak kisah terhadap jarum halus pihak yang cuba mengembang Islamofobia.

- Advertisement -

Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ahmad Yahaya berkata, adalah lebih malang apabila ada pihak menganggap agenda mempertahankan agama sebagai khawarif.

“Semua pihak terutama pemimpin politik perlu lebih peka serta teliti terhadap sensitiviti umat Islam dan bukannya mempolitikkan demi agenda sendiri,” katanya di sini hari ini.

Amidi pada kenyataan semalam membidas kenyataan Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang menganggap PKR sebagai melawan al-Quran dan mempertahankan warisan penjajah.

Pemimpin PKR terbabit turut mencabar Presiden PAS membuat kenyataan mengenai kedudukan parti itu di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Ahmad berkata, kenyataan pemimpin PKR terbabit jelas menyeleweng daripada maksud asal yang disampaikan Tuan Guru Abdul Hadi.

“Kenyataan berkenaan bukan sahaja menyimpang daripada maksud asal, malah mencabar Presiden PAS membuat kenyataan menentang Perlembagaan Persekutuan.

“Sedangkan dalam konteks yang diulas Tuan Guru ialah memisahkan politik dan agama merupakan sesuatu yang bertentangan dengan apa yang dianjur al-Quran,” ujarnya.

Menurut beliau sepatutnya pemimpin PKR terbabit meneliti perkembangan isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -