Mengapa peruntukan kepada INSKEN meningkat?

Datuk Idris Ahmad
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Usahawan dan Koperasi diminta menjelaskan faktor yang menyebabkan peningkatan peruntukan kepada Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dalam Belanjawan 2023.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad berkata, INSKEN mendapat peruntukan mengurus lebih tiga kali ganda berbanding 2022 iaitu daripada RM3.6 juta kepada RM11 juta.

“Apakah faktor yang menyebabkan INSKEN diberi peningkatan peruntukan ini?” soalnya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Usahawan dan Koperasi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga meminta menjelaskan berapa ramai usahawan yang telah dibangunkan kapasitinya oleh INSKEN dan berapa peratus daripadanya dikategorikan sebagai usahawan berjaya dalam tempoh lima tahun bermula 2018 hingga 2022.

Beliau turut meminta kerajaan menerangkan sejauh manakah capaian para usahawan sama ada baru berjinak dengan dunia keusahawanan mahupun yang sudah lama untuk mendapat khidmat INSKEN dalam membangunkan kapasiti mereka.

Idris yang juga Naib Presiden PAS juga bertanya sejauh mana INSKEN mengenal pasti potensi besar dalam kalangan para usahawan untuk membangunkan mereka. – HARAKAHDAILY 20/3/2023

- Advertisement -