Program al-Quran dengan Syeikh Ahmad Isa Al-Ma’sarawi

- Advertisement -

PENDAHULUAN 

Kelmarin, seperti mimpi menjadi kenyataan dapat bertemu dan belajar daripada Syeikh Dr. Ahmad Isa al-Ma’sarawy HafizahulLah dalam Program Daurah Tajwid dan Qiraat anjuran Fakulti Pengajian Kontemporari Islam UNISZA.

Sedikit mengenai beliau 

Beliau adalah mantan Syeikh Umum al-Maqari’ al-Misriyyah, iaitu Ketua dan Rujukan Utama pusat-pusat mengaji al-Quran di seluruh Mesir yang berjumlah lebih kurang 12,000 buah di masjid-masjid.

Jawatan itu menunjukkan pengiktirafan yang tinggi terhadap beliau oleh para Qurra’ di seluruh Mesir. Beliau juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Lajnah Tashih al-Quran di Mesir.

Beliau adalah contoh para ulamak amilin yang berhadapan ujian dan kesakitan, dalam keikhlasan usaha beliau untuk memartabatkan al-Quran. Itulah sunnatulLah ke atas para kekasihNya. Beliau diberhentikan daripada jawatan itu oleh pihak kerajaan kerana pelbagai tohmahan yang beliau nafikan. 

Beliau juga pernah dilarang daripada menjadi imam tarawih di mana-mana masjid di Mesir oleh pihak Kerajaan.

Namun beliau bersabar dan bertawakal hanya kepada Allah S.W.T jua.

Setelah itu beliau tetap dialu-alukan oleh pelbagai pihak untuk menjadi imam tarawih di seluruh dunia termasuk di Eropah. Khidmat beliau terhadap al-Quran dan ilmu-ilmu berkait al-Quran semakin diluaskan dengan jelajah ilmu beliau ke seluruh dunia.

Semoga Allah S.W.T sentiasa memelihara dan memberkati setiap urusan beliau.

Ceramah beliau berkenaan makhraj dan sifat huruf

Beliau mengajar menggunakan Matan Mukaddimah Ibnu al-Jazari, di mana pihak penganjur menyediakan Matan berkaitan dan terjemahannya kepada para peserta.

Tajuk itu tentulah kelihatan biasa saja kepada pelajar tajwid dan qiraat.

Tapi ia menjadi sangat luas tetapi padat, mendalam dan sangat teliti apabila disyarahkan oleh tokoh besar dan tersohor ini. Beliau tidak hanya menerangkan maksud apa yang tersurat mengenai tajuk ini, bahkan turut menerangkan motif dan hikmah di sebalik pandangan Imam Ibnu al-Jazari rahimahulLah memilih pandangan yang beliau nukilkan dalam nazam Matan ini. 

Dengan itu beliau menyedarkan kita mengenai sebenarnya wujudnya perbahasan ilmiah yang mendalam di kalangan ahli-ahli ilmu bidang ini berkait makharij dan sifat huruf, namun pendapat-pendapat Imam Ibnu al-Jazari mempunyai kewibawaan dan kekuatan ilmiah yang tersendiri.

Setelah menerangkan kepentingan makhraj dan sifat, beliau turut menekankan kepentingan riwayat bacaan al-Quran. Kata beliau perbahasan mengenai makhraj dan sifat hendaklah dibahaskan agar ia menepati riwayat. Jangan sampai bacaan al-Quran dipaksa mengikut rentak perbahasan makhraj dan sifat. Jika begitu, perbahasan itu sudah menjadi tidak betul, kerana ilmu tajwid dan qiraat diasaskan bertujuan untuk memahami dan menjaga ketelitian riwayat. Bukan sebaliknya.

Huraian beliau itu kerana ada orang yang terlalu menekankan bab makhraj dan sifat dalam bacaan sehingga menjadikan bacaan terlalu berat, canggung dan bersalahan dengan riwayat. Sebenarnya kata beliau, sifat-sifat huruf ketika membaca al-Quran tidaklah akan zahir semuanya sekali gus. Dan sifat-sifat yang tidak zahir itu bukan tidak ada tetapi telah didominasi oleh sifat huruf lain yang lebih kuat pada masa-masa yang tertentu. Keharmonian makhraj dan sifat huruf boleh diperhatikan dengan nyata dalam riwayat-riwayat yang mutawatir daripada para qurra’ yang diakui dalam bidang ini.

Perbahasan mengenai perbezaan pendapat mengenai makhraj tiga huruf yang agar sukar untuk ditentukan tempat keluarnya secara tepat, turut beliau selitkan sedikit sebanyak iaitu huruf ra, lam dan nun.

Perbahasan dengan membaca iqlab dan ikhfa’ syafawi turut beliau sebutkan sedikit sebanyak semasa menjawab soalan terakhir daripada peserta. Persoalan sama ada membuka sedikit bibir mulut atau merapatkan terus dua bibir itu kata beliau telah mencetuskan perbahasan yang di luar daripada adab perbahasan ilmiah yang sihat. Menurut beliau khilaf mengenainya telah berlaku di sisi para ulamak mutaqaddimin lagi. 

Lagi pun kata beliau pendapat yang mengatakan membuka sedikit bibir mulut bukan bermaksud membukanya dengan luas, tetapi sekadar boleh dimasukkan sekeping kertas antaranya. Kata beliau, adapun membuka mulut dengan luas, itu jelas salahnya.

Perbahasan para ulamak mengenai masalah ini dibincangkan sekitar makna hukum ikhfa’ dan hukum idgham itu sendiri lagi. Di mana ikhfa’ berlaku di sisi huruf bukan memasukkan ke dalam huruf.

Kesimpulannya, beliau mahu memudahkan kita belajar dan membaca al-Quran. Jangan terlalu sibuk hendak membincangkan isu teori sehingga menyukarkan kita membaca al-Quran.

Semasa mengajar, beliau sentiasa sebutkan mengenai pendapat yang lebih mudah dan lebih praktikal untuk kita amalkan secara amali.

Itulah kelebihan belajar dengan pakar sesuatu bidang. Dia menguasai segala selok belok ilmu itu dengan mendalam sekali. Kelebihan beliau sebagai guru dan murabbi pula membolehkan beliau menjawab kekeliruan murid-muridnya dengan tenang, tuntas dan memberikan semangat.

Penutup 

Program ini didahului dengan syarah Matan al-Wadhihah fi Tajwid Al-Fatihah oleh Syeikh Hesyam Abdul Bari Rageh. 

Program daripada 9 pagi sehingga pukul 5 lebih itu tentulah amat memenatkan bagi Syeikh al-Ma’sarawy yang telah berusia 70 tahun. Tetapi beliau tetap ceria sampai ke akhir program. Walaupun perbincangan tajuk adalah serius, beliau adalah orang suka bergurau juga sedikit sebanyak.

Kedua-dua sesi diterjemahkan oleh Dr. Azizul Hasan, pensyarah UniSZA. Terjemahan beliau santai dan memudahkan peserta yang tidak boleh berbahasa Arab. 

Sempat juga beliau bergurau dengan Syeikh Ma’sarawy bahawa nama beliau Azizul bukan Azazil. Syeikh Ma’sarawy saya lihat hampir tidak berdaya menahan ketawa kerana gurauan itu.

USTAZ ZAKARIA ISMAIL 
19 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 19/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -