Petisyen PRU15: Presiden PAS hadir ke mahkamah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hadir sebagai saksi pada perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Parlimen Marang di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, hari ini.

- Advertisement -

Beliau yakin keputusan perbicaraan akan berihak kepada PAS kerana menurutnya, kes tersebut tidak melanggar kesalahan pilihan raya.

“Alhamdulillah, tidak ada apa-apa, perbicaraan berlangsung macam biasa, kita jawab soalan yang ditanya peguam dia dan peguam kita.

“Insya-Allah, kerana tidak melibatkan kesalahan pilihan raya, ia lebih kepada ‘perang saraf’ Umno, kerana dia tak menang dalam pilihan raya, tapi nak menang melalui mahkamah,” ujar beliau yang juga Ahli Parlimen Marang.

Tuan Guru Abdul Hadi berkata demikian ketika menjawa soalan wartawan sebaik keluar dari bangunan mahkamah.

Menurut peguam Wan Rohimi Wan Daud, Tuan Guru memberi keterangan di hadapan Hakim Pilihan Raya, Datuk Hassan Abdul Ghani.

Jelasnya, selain Tuan Guru, dua saksi lain yang turut dipanggil untuk memberi keterangan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Adun Pengkalan Berangan, Ustaz Sulaiman Sulong.

Sementara itu, peguam yang mewakili Ahli Parlimen Marang itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihak responden sudah selesai memanggil tiga saksi.

“Namun, ketika ini pihak pempestiyen belum lagi selesai memanggil saksi bagi pihak mereka.

“Mereka kemukakan saksi, kemudian kita akan berhujah,” katanya.

Pada Januari lalu, Umno Terengganu memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman. – buletinonlines.net

- Advertisement -