Pemuda PAS Pahang perkukuh 15 kerusi dimenangi PRU15

- Advertisement -

JERANTUT: Dewan Pemuda PAS Pahang kini diketuai Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Al Syubrawi menggantikan penyandang sebelum ini Ustaz Aireroshairi Roslan yang tamat tempoh perkhidmatan.

- Advertisement -

Seramai 112 perwakilan daripada 14 kawasan seluruh Pahang menghadiri muktamar tahunan kali ke-41 yang menyaksikan keputusan menang tanpa bertanding bagi empat jawatan tertinggi.

Tempat Zarimi sebagai Timbalan Ketua Pemuda sebelum ini digantikan Dr Firdaus Ismail, manakala Naib Ketua, Ustaz Zulfadli Zakariah. Pengerusi Tetap, Ustaz Hazmi Dibok bersama timbalannya, Ustaz Aireroshairi Roslan juga menang tanpa bertanding.

Zarimi pada ucapan penggulungan berkata, dalam perjuangan menegakkan agama, kesatuan atau jamaah harus teratur, kuat dan kukuh umpama sebuah bangunan.

Katanya seperti mana batu-bata bangunan yang kemas tersusun pada tempatnya tidak kira besar atau kecil, di mana setiap pejuang mempunyai peranan masing-masing membantu perjuangan.

“Untuk menegakkan agama Allah, kita perlu bekerja bersama-sama sebagai satu pasukan yang ada peranan dan posisi masing-masing.

“Bukan senang mengurus manusia, tetapi untuk mencapai kemenangan tiada cara lain, kena usaha buat apa yang Allah suruh.

“Kami bukan yang terbaik untuk berada di tahap ini. Pemuda PAS Pahang sangat memerlukan sokongan dan kerjasama seluruh pemuda di semua peringkat untuk menjayakan matlamat jemaah,” ujarnya

Menurutnya juga Dewan Pemuda PAS Pahang mempersiapkan halatuju bagi memperkukuhkan kemenangan 15 kerusi PAS di Pahang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 bagi memastikan peningkatan sokongan anak muda kepada PAS sehingga ke akar umbi.

Katanya pelan strategik yang lengkap dan menyeluruh dirangka mencakupi peranan semua sektor dan lajnah bagi membangun dan mempertingkatkan kekuatan menuju PRU ke-16.

Muktamar tersebut diadakan di Hotel Darul Makmur, di sini semalam yang dirasmikan Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden. – HARAKAHDAILY 19/3/2023

- Advertisement -