Integrasi sosial melalui perumahan

- Advertisement -

KETIKA saya Exco Perumahan di Selangor dahulu, saya telah mencadangkan pembangunan yang mencampurkan kediaman pelbagai kos. Contohnya di dalam satu blok pangsapuri terdapat unit-unit kediaman kos rendah, kos sederhana dan kos tinggi. Hari ini kediaman-kediaman tersebut berada di dalam blok malah pembangunan yang berbeza. Kadang-kala pembangunan-pembangunan tersebut dirancang supaya tidak berlaku sebarang interaksi di antara penduduk. Penduduk kediaman kos tinggi dan sederhana mungkin memiliki kemudahan-kemudahan komuniti yang disediakan khusus untuk mereka. Sementara  penduduk kediaman kos rendah akan menggunakan kemudahan-kemudahan komuniti yang disediakan untuk rakyat oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Saya membuat cadangan sedemikian kerana saya melihat terdapat pelbagai usaha yang dilaksanakan untuk mencapai integrasi kaum (racial integration) tetapi saya tidak nampak sebarang usaha yang besar ke arah integrasi sosial (social integration). Apa yang saya maksudkan dengan integrasi sosial adalah integrasi pelbagai kelas di dalam masyarakat. Tidak boleh dinafikan masyarakat kita adalah terbahagi kepada pelbagai kelas berdasarkan pendapatan atau pemilikan harta. Kerajaan membahagikan rakyat kepada beberapa kumpulan iaitu B40, M40 dan T20 berdasarkan pendapatan isi rumah berdasarkan kajian Jabatan Statistik.

Pada hakikatnya mereka di dalam setiap kumpulan berada di dalam dunia mereka yang tersendiri. Walaupun terdapat integrasi atau engagement di antara mereka namun peluangnya adalah terhad. Mungkin di dalam program-program keagamaan seperti solat berjemaah bagi mereka yang beragama Islam namun kemungkinan ia berlaku akan semakin terhad berdasarkan perancangan pembangunan-pembangunan baharu. Apabila pembangunan-pembangunan adalah berdasarkan kos maka tidak akan berlaku integrasi atau engagement. Pembangunan kos tinggi dengan surau mereka sendiri, pembangunan kos sederhana dengan surau mereka sendiri dan pembangunan kos rendah dengan surau mereka sendiri.

Tetapi bagaimana pula dengan aspek-aspek lain di dalam kehidupan? Sudah tentu mereka bertemu di pasar malam, pasar tani atau medan selera. Mungkin juga tetapi pasar malam, pasar tani dan medan selera juga terletak di dalam kejiranan-kejiranan yang berbeza-beza. Ada kejiranan yang eksklusif atau majoritinya didiami atau dikunjungi oleh kumpulan-kumpulan tertentu. Ini bermakna peluang untuk integrasi tersebut berlaku adalah semakin berkurangan. Kita membeli-belah, berekreasi, berhibur, bercuti malah beribadah di tempat-tempat yang berbeza. Ini kadang-kala berlaku bukan disengajakan tetapi kerana keperluan atau kemampuan kewangan masing-masing adalah berbeza.

Justeru timbul cadangan untuk mencampurkan kediaman pelbagai kos di dalam satu blok. Walau bagaimanapun tidak ramai yang menerima cadangan ini. Mungkin kerana terdapat pemaju yang bimbang mereka tidak akan dapat menjual pangsapuri dengan harga RM400,000 jika bersebelahan dengan pangsapuri mampu milik RM120,000. Adakah ini akan berlaku kerana mereka yang tinggal di pangsapuri mampu milik dilihat sebagai dari ‘kasta’ yang berbeza? Atau adakah terdapat mereka yang menganggap penghuni pangsapuri mampu milik akan menjadi ‘ancaman’ kepada gaya hidup mereka? Jika ini benar maka masyarakat dan negara kita berhadapan dengan satu masalah yang besar. Integrasi sosial ini juga penting seperti integrasi kaum.

Terdapat kerajaan-kerajaan negeri yang mewajibkan pemaju membina rumah mampu milik jika pembangunan mereka melebihi keluasan yang tertentu. Terdapat kerajaan negeri yang pernah mewajibkan pemaju membina sehingga 50 peratus kediaman mampu milik jika keluasan pembangunan mereka melebihi 10 ekar. Peratusan dan keluasan ini mungkin berubah-ubah tetapi peraturan ini bukan sahaja dapat menyediakan kediaman mampu milik untuk rakyat tetapi juga dapat membantu integrasi pelbagai kumpulan di dalam masyarakat. Di atas kertas, idea ini nampak akan berjaya tetapi ia akan gagal jika terdapat perancangan yang tidak membenarkan engagement di antara mereka yang tinggal di situ. Setiap pembangunan dengan kemudahan-kemudahan komuniti masing-masing yang sudah tentu tidak memberi peluang kepada integrasi. Justeru PBT yang meluluskan pembangunan perlu campur tangan dan proaktif agar integrasi sosial berlaku.

Tetapi kenapa integrasi sosial ini penting? Faham memahami di antara satu sama lain adalah satu keperluan untuk mewujudkan satu masyarakat yang adil dan stabil. Setiap kumpulan di dalam masyarakat perlu memahami aspirasi dan masalah masing-masing. Kelas atasan yang menjadi majikan atau yang menerajui negara perlu memahami kelas pertengahan dan kelas bawahan. Kelas bawahan pula perlu memahami masalah yang dihadapi oleh kelas atasan dan kelas pertengahan. Tanpa kefahaman ini akan berlaku prasangka dan menyuburkan perasaan dendam. Kefahaman ini hanya akan diperolehi melalui interaksi di antara satu sama lain dan bukan semata-mata dengan membaca kajian atau laporan. Turun padang dari masa ke semasa untuk dimanfaatkan oleh media sosial juga tidak memadai. Tanpa kefahaman ini juga adalah punca pemimpin-pemimpin atasan tidak memahami masalah rakyat dan akan timbul pula cadangan-cadangan yang mengarut dan formula-formula yang tidak berpijak di bumi yang nyata.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 19/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -