Pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran mencabar hegemoni barat

- Advertisement -

11 Mac 2023, politik antarabangsa dikejutkan dengan berita perjanjian pemulihan semula hubungan antara Arab Saudi dan Iran yang diusahakan oleh China dengan kerjasama Rusia. Ternyata berita tersebut disambut baik oleh majoriti Dunia Islam dan negara-negara yang anti Barat. Perkembangan ini dijangka mampu menzahirkan kestabilan yang berpanjangan di Asia Barat namun ia diterima dengan begitu skeptikal oleh Barat yang tentunya tidak mahu ia menjadi realiti.

- Advertisement -

Keretakan hubungan Arab Saudi dan Iran yang telah berlangsung sejak 2016 bermula apabila warga Iran menyerbu Kedutaan Arab Saudi di Tehran sebagai bantahan terhadap hukuman mati yang dikenakan ke atas Sheikh Nimr Baqir al Nimr, seorang ulama syiah terkemuka di Arab Saudi pada 2 Januari 2016. Sebagai respons, Arab Saudi memutuskan hubungan dengan Iran. Hukuman tersebut dibantah keras oleh Kerajaan Iran dan penganut mazhab syiah di seluruh dunia termasuk di Arab Saudi.

Namun China dan Rusia tidak mengambil sikap mengecam bahkan menggesa Arab Saudi supaya menilai kembali keputusannya memutuskan hubungan dengan Iran kerana berpendapat keputusan tersebut akan meningkatkan lagi ketegangan di Asia Barat dan dalam yang sama bersedia untuk menjadi “orang tengah“ bagi memulihkan kembali hubungan antara kedua-dua negara.

Ternyata benar apa yang diramalkan oleh China dan Rusia kerana semenjak daripada itu, keadaan menjadi semakin tegang sehingga mencetuskan beberapa konflik lain di rantau tersebut seperti konflik antara Qatar dan GCC (negara-negara Teluk), konflik di Yaman, konflik politik di Lubnan dan Iraq juga konflik antara negara-negara Arab dengan Turkiye dan Syria. Akibat daripada itu juga, OIC dan Liga Arab menjadi seperti tidak bermaya dan terbahagi kepada beberapa kelompok sehingga mengakibatkan perjuangan untuk pembebasan bumi Palestin semakin lesu.

Namun beberapa tahun kebelakangan ini, ketegangan mula kendur dan terdapat tanda-tanda serta usaha ke arah pemulihan hubungan antara Arab Saudi dan Iran yang diusahakan oleh Iraq dan Oman. Ditambah lagi semenjak berlangsungnya konflik di Ukraine, usaha ke arah perdamaian tampak lebih realistik dengan China dan Rusia memainkan peranan penting ke arah usaha pemulihan antara kedua-dua negara yang akhirnya menjadi realiti.

Akan tetapi Barat dan sekutu kuatnya negara haram Israel tampak tidak senang dengan berita tersebut apatah lagi ianya diusahakan oleh China dengan kerjasama Rusia. Media-media utama Barat memaparkan dengan begitu skeptikal pemulihan hubungan tersebut malah menyatakan ia tidak mampu bertahan lama akibat perbezaan kepentingan ketara antara Arab Saudi dan Iran di samping negara haram Israel menyatakan ia ancaman besar kepada kepentingan strategiknya dan Barat.

Sememangnya benar, Barat dan negara haram Israel amat khuatir dengan pemulihan hubungan antara kedua-dua negara ini di atas beberapa sebab utama:

Kelemahan Barat sebegai peneraju order baharu dunia

Tindakan China dengan kerjasama Rusia yang memainkan peranan penting dalam usaha pemulihan ini memberikan gambaran buruk dan memaparkan kelemahan Barat dalam menyelesaikan pelbagai isu dan konflik utama dunia yang mampu merosakkan reputasinya sebagai peneraju utama dunia dan akan membuatkan lebih banyak negara menjauhinya.

Meningkatkan reputasi China mahupun Rusia sebagai kuasa baharu utama dunia

Kejayaan China dengan kerjasama Rusia menyelesaikan konflik Arab Saudi-Iran meningkatkan reputasi dan kepercayaan dunia terhadap kedua-dua negara tersebut. Ia dijangka mampu mengubah sokongan banyak negara yang selama ini “bernaung“ di bawah Barat untuk beralih arah kepada dua kuasa besar ini yang dilihat mampu menjadi peneraju keamanan dan kestabilan dunia.

Pembuka jalan kepada China dan Rusia mengukuhkan kedudukannya di Asia Barat

Ia dijangka meningkatkan lagi kepercayaan Asia Barat terhadap dua kuasa besar ini, membuka ruang yang lebih besar untuk mengukuhkan lagi kedudukan di samping akan terus diberikan kepercayaan untuk memainkan peranan yang lebih penting di Asia Barat di masa hadapan dan dalam masa yang sama akan terus menenggelamkan peranan dan hegemoni Barat di rantau tersebut.

“Membersihkan“ reputasi Rusia yang tercalar akibat konflik di Ukraine

Walaupun Rusia tidak kelihatan sebagai pemain utama dalam usaha pemulihan hubungan tersebut, namun diketahui peranan besar Rusia memandangkan Iran adalah sekutu utama Rusia. Samada nyata ataupun tidak, banyak negara telah mula memihak kepada Rusia dalam isu berbangkit mengenai konflik di Ukraine walaupun ada yang tidak bersetuju dengan cara Rusia mengendalikannya.

Penyelesaian kepada konflik-konflik lain di Asia Barat

Ketika ini Presiden Syria Basyar Al Assad berada di Moscow, Rusia bertemu dengan Presiden Rusia Vladimir Putin. Lawatan tersebut sebenarnya petanda awal selepas ini giliran Syria dan Turkiye pula memulihkan hubungan dan jika ia berlaku dalam masa terdekat, ia adalah tamparan besar buat Barat memandangkan Turkiye berdepan pelbagai tekanan dari Barat berikutan hubungannya dengan Rusia.

Ketika ini “di sebalik tabir“ telah bermula usaha untuk menamatkan konflik di Yaman dan dijangka akan bermula dengan proses gencatan senjata antara kumpulan Houthi dengan Kerajaan Yaman. Ia juga akan membuka ruang kepada penyelesaikan krisis poltik di Lubnan dan Iraq yang telah berlarutan sekian lama. Jika tidak ada aral melintang, dijangka kesemua konflik ini akan berjaya diselesaikan seterusnya akan menstabilkan rantau Asia Barat.

Pemerkasaan perjuangan membebaskan Palestin

Jika penyelesaian keseluruhan konflik di Asia Barat berjaya direalisasikan, penyatuan antara negara-negara Asia Barat dan Dunia Islam akan lebih kukuh. Inilah sebenarnya yang amat ditakuti oleh Barat terutamanya negara haram Israel. Apabila penyatuan negara-negara Dunia Islam lebih kukuh, tentunya suara-suara, usaha dan desakan untuk membebaskan bumi Palestin akan lebih kuat.

Ketika ini negara haram Israel sedang dilanda pergolakan politik yang besar sejak Benjamin Netanyahu dilantik semula sebagai Perdana Menteri dan ia turut mengeruhkan hubungan negara haram Israel dengan Barat. Semenjak berlakunya konflik di Ukraine, hubungan antara negara haram Israel dengan Rusia menjadi lebih tegang setelah tersebarnya berita mengenai perjanjian penjualan pesawat pejuang SU 35 kepada Iran oleh Rusia.

Ia dipercayai akan menjadi lebih buruk apabila dipercayai negara haram Israel telah bersetuju untuk membekalkan senjata dan sistem pertahanan peluru berpandu kepada Ukraine baru-baru ini. Dengan peranan yang dimainkan oleh Rusia dalam pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran, kemungkinan Syria dan Turkiye dan hubungan yang semakin rapat dengan kumpulan pejuang Palestin, tidak mustahil tindak balas Rusia terhadap negara haram Israel akan memberikan kelebihan kepada Palestin untuk pembebasan bumi Al Aqsa.

Pemerkasaan BRICS

Peranan yang dimainkan China dan Rusia dalam usaha pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran sebenarnya membuka ruang kepada penyertaan Arab Saudi dan Iran ke dalam organisasi BRICS yang lebih besar yang bakal dikenali sebagai BRICS+. Maka dengan pemulihan hubungan ini akan memudahkan lagi penyertaan kedua-dua negara ini ke dalam organisasi tersebut bilamana konflik dan perseteruan berjaya dileraikan.

Namun sebenarnya, ia merupakan “signal“ kepada negara-negara yang memohon untuk menyertai BRICS seperti Algeria, UAE, Mesir, Turkiye, Indonesia dan Thailand bahawa “roadblock“ untuk memperbesarkan organisasi BRICS telah berjaya dirungkaikan. Barat sebenarnya amat risau jika pemerkasaan BRICS atau BRICS + berjaya direalisasikan kerana ia akan menjadi ancaman kepada Barat dan organisasi seperti World Economic Forum dan kumpulan G7 serta akan mewujudkan blok yang besar dan kuat di kalangan negara-negara utama pengeluar bahan mentah dan komoditi utama dunia.

Penguasaan OPEC+ terhadap sumber tenaga utama dunia

Pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran sebenarnya tidak diketahui ramai bahawa ia adalah salah satu usaha untuk mengembalikan pemusatan kuasa penetapan harga komoditi utama dunia iaitu produk petroleum seperti minyak mentah kepada negara-negara pengeluar yang selama ini dikawal secara tidak adil oleh Barat yang memberikan keuntungan besar kepada mereka.

Arab Saudi, Iran dan Rusia sebenarnya adalah tiga pengeluar utama minyak mentah dunia yang selama ini tidak bersatu atas sebab-sebab tertentu. Berikutan pemulihan hubungan ini, dijangka OPEC+ yang diterajui Arab Saudi dengan Rusia dan Iran turut berada dalam kumpulan tersebut akan mempunyai kuasa yang lebih besar dalam mengawal kouta pengeluarkan dan menetapkan harga minyak mentah di dunia.

Barat terutamanya Amerika Syarikat seperti sudah menjangka “olahan” tersebut telah memulakan langkah awal melalui Kongres Amerika Syarikat dengan memperkukuhkan Akta NOPEC pada 2022 berikutan keengganan Arab Saudi menambah pengeluaran minyak mentah seperti yang dikehendaki Amerika Syarikat akibat kekurangan bekalan yang telah melonjakkan harga melebihi USD100 setong berikutan konflik di Ukraine dan sekatan yang dikenakan terhadap eksport minyak mentah Rusia.

Petanda awal berakhirnya sistem “Petrodollar“

Sistem Petrodollar diasaskan pada 1973 dan dimuktamadkan pada 8 Jun 1974 dalam perjanjian ekonomi termasuk pertahanan yang ditandatangani oleh Henry Kissinger, Setiausaha Negara Amerika Syarikat ketika itu bagi pihak Presiden Amerika Syarikat Richard Nixon dengan Putera Fahd Bin Abdul Aziz Al Saud bagi pihak Raja Faisal Bin Abdul Aziz Al Saud di Blair House, berhadapan Rumah Putih.

Ia diasaskan untuk memulihkan kembali ekonomi Amerika Syarikat dan Barat berikutan kesan ekonomi dan kejatuhan matawang dollar yang amat teruk yang hampir meranapkan ekonomi Amerika Syarikat berikutan “embargo“ eksport minyak mentah negara-negara Dunia Islam anggota OPEC terhadap negara-negara yang menyokong negara haram Israel dalam perang Yom Kippur.

Sistem Petrodollar adalah “penggunaan wajib“ matawang dollar Amerika Syarikat dalam setiap  transaksi jualan eksport minyak mentah Arab Saudi, dan sebagai balasan Amerika Syarikat akan memberikan jaminan keselamatan kepada Arab Saudi. Memandangkan Arab Saudi adalah pengeksport terbesar minyak mentah dunia, matawang dollar secara tidak langsung menjadi matawang utama perdagangan dunia berikutan minyak mentah adalah komoditi dagangan terbesar dunia.

Matawang dollar juga turut digunakan secara meluas dalam instrumen perdagangan lain yang secara tidak langsung menjadikan Amerika Syarikat sebagai kuasa utama ekonomi dunia sehingga ke hari ini. Namun berdasarkan analisa ramai pakar-pakar ekonomi dunia ketika ini, hegemoni matawang dollar ke atas perdagangan dunia bakal berakhir tidak lama lagi.

Kebelakangan ini Arab Saudi dilihat mula beralih arah kepada China dan Rusia. Kehadiran Presiden China Xi Jinping ke Arab Saudi tahun lalu disambut besa -besaran seterusnya dimeteraikan perjanjian pembelian minyak mentah dalam skala besar yang sebahagian besarnya menggunakan matawang Yuan. Pengumuman Arab Saudi beberapa bulan lalu yang mempertimbangkan pengunaan pelbagai matawang dalam pembelian minyak mentahnya telah mencetuskan kebimbangan Barat.

Beberapa hari selepas menandatangani perjanjian pemulihan hubungan dengan Iran, Menteri Tenaga Arab Saudi Putera Abdul Aziz Bin Salman Al Saud memberi amaran keras bahawa negaranya tidak akan menjual minyak mentah kepada negara-negara yang menetapkan harga siling bagi minyak mentah keluaran Arab Saudi telah mengejutkan banyak pihak yang berkemungkinan adalah tindakbalas terhadap “kuasa di sebalik tabir“ yang menentang pemulihan hubungan dengan Iran.

Ramai penganalisa ekonomi dan geopolitik dunia meramalkan perjanjian pemulihan hubungan Arab Saudi-Iran adalah petanda awal bakal berakhirnya dunia unipolar serta sistem petrodollar yang diterajui Barat yang seterusnya bakal mewujudkan dunia multipolar yang lebih adil dan saksama. Ia juga adalah petanda bakal berakhirnya hegemoni dan ketamadunan Barat yang selama ini mencengkam dunia secara  paksaan, tidak adil dan tidak bertamadun.

Inilah masa terbaik untuk umat dan Dunia Islam kembali meniti ke arah penyatuan dan perpaduan yang lebih kukuh untuk masa depan yang lebih baik buat seluruh ummah. Cukuplah selama ini diperdaya dan dipermainkan, yang telah menjerumuskan umat dan Dunia Islam ke lembah kegelapan dan sampai masanya untuk bangkit kembali bagi memartabatkan Dunia Islam ke puncak kejayaan yang lebih cemerlang dan gemilang seterusnya membebaskan Palestin dan Masjidil Aqsa.

‘Malaysia Sejahtera’

YB DR. MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat
ADUN Batu Buruk – HARAKAHDAILY 18/3/2023

- Advertisement -