‘Khaira ummah’ seiring tanggungjawab anggota polis

PARIT: Istilah ‘khaira ummah’ yang dinyatakan Allah SWT di dalam al-Quran dengan tugas mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah seiring tanggungjawab anggota polis.

Advertisement

Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib berkata, tugasan polis yang menjaga keharmoniaan agar tidak berlaku maksiat dan kerosakan menjadi peranan besar dalam mengajak masyarakat untuk melakukan kebaikan.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Bekas Polis Malaysia Cawangan Perak Tengah Ke-6 di Dewan Serbaguna Kampung Tua, Blanja hari ini.

Ustaz Ismi juga berkongsi kisah tentang mantan Ketua Polis Negara, Almarhum Tan Sri Mohd Bakri Omar.

Tambahnya, ciri-ciri kepimpinan allahyarham mendatangkan rasa hormat seluruh warga PDRM terhadapnya dan dalam kalangan ahli masyarakat.

Katanya, mereka melihat allahyarham secara positif iaitu sebagai pemimpin pasukan yang mampu berbuat sesuatu, khususnya dalam membimbing PDRM menurut aspirasi masyarakat.

Menurutnya lagi, allahyarham pada masa itu memperjuangkan pemakaian tudung dalam kalangan polis wanita beragama Islam.

“Usaha cadangan pemakaian tudung itu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan perdana menteri pada waktu itu.

“Alhamdulilah cadangan pemakaian tudung itu diluluskan dalam pemakaian seragam polis wanita Islam, maka bermula usaha terbaik dalam menaikkan imej polis wanita muslim di Malaysia,” jelas Ismi.

Beliau juga menyatakan dengan kuasa yang dimiliki boleh membuka peluang untuk melaksanakan kebaikan sepertimana telah ditunjukkan allahyarham. – HARAKAHDAILY 18/3/2023