Tindakan kerajaan menekan hak bersuara tak wajar

Sekitar Majlis Meraikan dan Pertemuan Pempengaruh Media Sosial di Restoran Qasar Balqis, Taman Melati, Kuala Lumpur pada 16 Mac 2023.

KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan menekan hak kebebasan bersuara di negara ini merupakan suatu tindakan yang tidak wajar dilakukan lebih-lebih lagi, apabila memberikan teguran agar kerajaan membetulkan kesilapan yang dilakukannya.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Gombak, Muhamad Suffi Kamari berkata bahawa hak kebebasan bersuara termasuk dalam media sosial yang banyak digunakan oleh golongan anak muda seperti TikTok dan YouTube mesti dibuka ruang seluas-luasnya kerana ia dijamin Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan atau 10 (4).

Advertisement

“Jadi, mengkritik kerajaan secara keras bukan isu sensitif dan wajib diberi ruang oleh anak muda bebas berkarya,” tegasnya kepada HarakahDaily.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Meraikan dan Pertemuan Pempengaruh Media Sosial di Restoran Qasar Balqis,Taman Melati, Kuala Lumpur pada Khamis.

Dalam majlis anjuran Pemuda PAS Gombak itu, dua orang Influencer TikTok PAS, Tasneem Zainol dan Maziah Hassan telah berkongsi pengalaman hitam ketika diasak bukan sahaja dalam media sosial, tetapi juga oleh pihak kerajaan sendiri hanya kerana menerbitkan video yang menyentuh kesalahan yang dilakukan oleh perdana menteri terkini (PMX).

“Mereka (Parti Pakatan Harapan) sendiri yang sebelum ini memperjuangkan hak kebebasan bersuara ketika menjadi pihak pembangkang dahulu tetapi setelah memegang kuasa memerintah negara ini, mereka sendiri mencabulinya! Jadi kami rasa terkilan dan dikhianati!” ujar mereka yang bersatu pendapat.

Mereka mengakui bahawa hak kebebasan bersuara juga mempunyai batas tersendiri tetapi mendakwa kerajaan tidak boleh mengambil segala pandangan yang bertentangan dengan dasarnya itu sebagai satu pandangan yang menjatuhkan.

“Ia hanya bertujuan sebagai kritikan membina untuk menambahbaik fungsi yang ada pada kerajaan sekarang,” kata mereka. – HARAKAHDAILY 17/3/2023