Tiada permohonan baharu premis judi di Perlis

Fakhrul Anwar Ismail
- Advertisement -

KANGAR: Sehingga sekarang kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan baharu pembukaan premis perjudian di Perlis.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, situasi itu menunjukkan perkembangan positif di bawah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Katanya kerajaan negeri sedang meneliti secara mendalam berkaitan aspek perundangan sebelum mengambil langkah menghentikan lesen operasi premis perjudian dan loteri di Perlis.

“Kita mempunyai perancangan ke arah pelaksanaan dasar tersebut dan ia sedang diteliti berkaitan aspek perundangan sebelum langkah seterusnya diambil,” katanya menjawab pertanyaan lisan oleh Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, semalam.

Haziq sebelum itu meminta kerajaan negeri memberi penjelasan berhubung keseriusan untuk menghentikan lesen operasi premis judi dan loteri di negeri terbabit.

Sehingga sekarang kesemua negeri di bawah PAS (PN) mengharamkan premis perjudian yang dimulakan di Kelantan pada awal 1990, kemudian diikuti Terengganu dan Kedah.

Fakhrul Anwar juga berkata, isu tersebut akan dibincang di peringkat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terlebih dahulu.

Menurutnya lesen bagi operasi perjudian dikeluarkan Kementerian Kewangan, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) pula mengeluarkan lesen premis perniagaan.

“Walaupun Majlis Perbandaran Kangar (MPK) mempunyai bidang kuasa sama ada untuk mengeluarkan lesen atau tidak, namun langkah untuk menghentikan operasi premis perjudian memerlukan penyelarasan bersama pihak-pihak terlibat khususnya Kementerian Kewangan.

“Langkah ini adalah bagi memastikan pelaksanaannya lebih teratur tanpa sebarang isu berbangkit,” katanya.

Pada Februari lepas Menteri Besar Mohd Shukri Ramli mengumumkan kerajaan negeri mempunyai perancangan menjejaki langkah Kedah tidak lagi mengeluarkan lesen premis perjudian. – HARAKAHDAILY 17/3/2023

- Advertisement -