Tak wajar ugut penerbit Mentega Terbang

Nadzir Helmi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab membuat ugutan dan memusnahkan harta persendirian bagi menunjukkan protes adalah suatu perbuatan yang dilarang dalam undang-undang dan agama Islam.

Ketua Penerangan Pemuda PAS, Khairul Nadzir Helmi Azhar berkata perbuatan sebegini tidak harus dilakukan oleh semua pihak sama ada yang beragama Islam mahupun bukan beragama Islam.

- Advertisement -

Beliau mengulas mengenai Pengarah Filem Mentega Terbang, Khairi Anwar yang dilaporkan telah menerima ugutan bunuh susulan kontroversi filem itu yang mengundang kemarahan banyak pihak kerana mempunyai unsur menghina Islam.

“Semalam (16 Mac), menerusi perkongsian gambar di Twitter @Amerhadiazmi, kelihatan kereta jenis Proton Saga berwarna merah dan Toyota Vios berwarna putih milik pengarah dan pelakon filem tersebut dipenuhi kesan simbahan asid, cat berwarna merah dan hitam oleh individu tidak dikenali.

“Turut ditinggalkan nota ugutan bunuh terhadap mereka dan keluarga yang bertulis, ‘Lu dengan family mesti mati’ dan nota amaran ‘Mentega Terbang jangan cabar agama Islam’,” katanya  kepada HarakahDaily.

Beliau turut memberitahu bahawa  PAS juga tidak terkecuali umenyeru ahlinya untuk tidak bertindak secara melampau sehingga boleh mengancam nyawa bagi mana-mana pihak. 

“Inilah didikan dan tarbiyah dalam PAS,” tegasnya yang menambah bahawa siasatan sudah dijalankan oleh pihak berkuasa terhadap penerbitan filem itu.

“Sebagai umat Islam, kita perlu terus memberi kesedaran akan perihal penerbitan filem yang bertentangan dengan agama ini, namun perlulah menjaga sikap untuk tidak berlebihan dalam menghukum. 

“Kita mempunyai pihak berkuasa yang perlu bertanggungjawab menyelesaikan perihal ini.

“Kita perlu serahkan tugas ini kepada mereka kerana tanggungjawab kita untuk mencegah telah dilaksanakan di samping pemantauan dan penentangan terhadap pencabulan sensitiviti agama perlu terus dilaksanaka,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2023

- Advertisement -