Selesaikan isu Jom Ziarah Gereja dengan berhemah – DHPP

Balasubramaniam A/L Nachiappan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) melihat bahawa polemik isu program, Jom Ziarah Gereja yang sedang hangat diperbahas dan diperdebatkan di Malaysia ketika ini perlu diselesaikan dengan cara yang berhemah dan harmoni.

Ketua Dewan Himpunan Pendukung PAS, Senator Balasubramaniam A/L Nachiappan berkata, program yang dijadualkan berlangsung di Klang, Selangor pada esok, 18 Mac dianjurkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Impact Malaysia itu perlu diteliti dengan sebaiknya.

- Advertisement -

“Ia penting dalam membina keharmonian masyarakat Malaysia, kerana ia adalah perkara yang sensitif berkaitan dengan agama.

“DHPP melihat bahawa program berbentuk kefahaman dan nilai-nilai toleransi antara agama yang ingin dilaksanakan ini pada dasarnya adalah baik, namun perlu mengambil kira garis panduan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Menurutnya, DHPP akur tentang kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan oleh undang-undang terhadap penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam. 

“PAS adalah parti yang sangat bertoleransi dengan semua agama dan bangsa, malah sangat menghormati kami sebagai anggota DHPP.

PAS tidak menghalang anggota DHPP untuk mengamalkan agama dan budaya yang kami anuti,  malah tidak memaksa kami untuk memeluk agama Islam. 

Malah pimpinan PAS turut sama menziarahi gereja dan kuil, namun ia  mestilah tidak melibatkan perkara-perkara yang boleh menjejaskan hubungan masyarakat yang berbilang kaum dan agama,” jelas Balasubramaniam.

Tambah beliau, seperti mana yang telah dinyatakan oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan semalam, apa yang paling penting difahami dalam hal isu ini adalah kenyataan-kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan.

“Ia bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2023

- Advertisement -