
KUALA LUMPUR: Dalam keadaan banyak barangan naik harga di pasaran dan kos perbelanjaan isi rumah semakin meningkat, apabila mendengar akan perkataan ‘percuma’, sudah tentu hati yang gundah-gulana kembali menjadi ceria.
Pasti inilah perasaan penduduk setempat di Dataran Taman Berlian, Gombak, di sini, yang diberikan rezeki oleh Allah SWT mendapat makanan percuma atau lebih tepat, nasi lemak.
Mereka telah menyambut baik program Jumaat Barokah anjuran Muslimat PAS Cawangan Simpang Tiga dan Jentera Pilihanraya Unit Daerah Mengundi (JPRUDM) Simpang Tiga yang mengedarkan sebanyak 300 bungkus atau pek nasi lemak percuma Berkah Jumaat pada hari ini.
Pengarah program itu, Norazam Awang Sulong berkata, ia telah berlangsung sejak 20 Jan 2023 pada setiap Jumaat selepas solat Subuh, bermula kira-kira jam 7.15 pagi.

Apa yang menariknya, ujar beliau lagi, semua orang berpeluang menikmati kelazatan nasi lemak yang disediakan secara bergotong-royong itu.
“Nasi lemak percuma ini diedarkan kepada sesiapa sahaja yang lalu di sekitar Dataran Taman Berlian.
“Minggu pertama, kira-kira 150 bungkus (nasi lemak) dan semakin bertambah setiap minggu. Pagi ini pula lebih 300 bungkus nasi lemak telah diberikan secara percuma,” kongsi Norazam.

Bakul Ramadan
Program kali ini turut dihadiri Pengarah Unit Daerah Mengundi Simpang Tiga (UDM), Ustaz Abdul Halim Othman; Naib Ketua Cawangan Kampung Changkat dan Ahli Jawatankuasa PAS UDM Simpang Tiga, Zainal Abidin; serta Pengerusi Majlis, Mohd Muhaimin Mahamaddin.
Tambah Norazam, kos nasi lemak berkenaan ditaja daripada pelbagai pihak dan apa yang paling menggembirakan pihaknya, tajaan bukan sahaja daripada kalangan ahli-ahli PAS, malah mendapat sokongan padu dan bantuan daripada penduduk setempat dari pelbagai latar belakang.

Bukan sekadar menyediakan nasi lemak percuma, kuih-muih dan teh tarik turut disediakan untuk sesiapa yang mahu bersarapan di Dataran Taman Berlian.
Sesungguhnya program tersebut telah memberikan kesan yang sangat positif, khususnya dalam kalangan penduduk Taman Berlian
“Program ini nampaknya sangat berjaya merapatkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat walaupun berlainan fahaman politik.

Menurut beliau, pihaknya turut menyediakan sebanyak 20 bakul Ramadan buat ibu-ibu tunggal dan orang yang kurang berkemampuan yang merangkumi pelbagai barangan keperluan harian dapur hasil sumbangan daripada orang ramai.
“Justeru, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Program Jumaat Barokah ini kerana memberikan kerjasama dan sokongan yang sangat baik,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2023