Mentega Terbang: ‘Kalau buat lagi, tanggunglah sendiri’

Mohd Zai Mustafa
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tindakan ugutan bunuh dan ancaman kepada penulis dan pengarah filem Mentega Terbang dianggap sebagai keterlaluan, tetapi ia juga pada masa sama merupakan peringatan buat pembikin kontroversi yang menyentuh sensitiviti agama, bangsa dan negara.

Pengerusi Gerakan Pembela Ummah (UMMAH), Mohd Zai Mustafa berkata, isu tersebut timbul selepas piihak yang tidak bertanggungjawab telah membuat ugutan bunuh terhadap pengarah filem Mentega Terbang, Khairi Anwar  susulan naskhah tersebut mengundang kemarahan banyak pihak kerana mempunyai unsur menghina Islam.

- Advertisement -

“Namun ugutan bunuh terhadap Khairi Anwar sangat keterlaluan kerana kita tidak boleh bertindak sendirian dalam isu-isu yang berkaitan dengan agama dan perkara-perkara yang sensitif.

“Namun  apa yang pasti, kalau kita membuat sesuatu perkara yang menimbulkan sensitiviti kepada agama, bangsa dan kaum maka akan timbul reaksi-reaksi yang akan memberi kesan kepada pihak tertentu.

“Reaksi ini secara spontan dan sekiranya ia tidak dapat dikawal, ianya boleh merebak kepada perkara yang lain pula.” katanya kepada HarakahDaily.  

Sehubungan itu, beliau turut memberitahu perkara tersebut merupakan peringatan kepada penerbit dan penulis skrip produksi filem atau sebarang bentuk penyiaran supaya tidak lagi menghasilkan elemen yang boleh menimbulkan sensitiviti kepada agama, bangsa dan negara. 

“Jika mereka tetap ingin melakukannya, maka mereka sendiri yang perlu menanggung akibatnya,” tegasnya.

Justeru, beliau turut memberitahu bahawa rakyat di Malaysia sudah maklum bahawa tayangan filem Mentega Terbang telah dibuat keputusan oleh Jabatan Agama Islam Malaysia  (JAKIM) bahawa filem itu telah menyalahi akidah umat Islam.

“Jadi, sudah pasti umat Islam di luar sana tidak selesa dengan perkara ini,” katanya.

Oleh itu, beliau turut mendesak  agar  Majlis Agama Islam di setiap negeri dan JAKIM serta Menteri Komunikasi dan Digital mengambil tindakan mengikut akta komunikasi supaya penerbitan filem ini pertamanya ditarik balik daripada penyiaran buat umum.

“Hukuman yang sewajarnya juga perlu dikenakan kepada pihak yang menayangkan filem ini. 

“Saya kira ini suatu bentuk tindakan dan hukuman yang wajar dilaksanakan supaya perkara ini tidak lagi berulang pada masa akan datang. 

“Kita juga tidak mahu soal sensitiviti ini berulang lagi,” hujah beliau.

Namun begitu, ujarnya, sebagaimana semua maklum daripada dahulu hingga sekarang walaupun ada tindakan, nasihat dan larangan daripada pihak kerajaan dan pihak berkuasa tetapi kita lihat perkara ini sering sahaja dilakukan oleh pihak-pihak tertentu khususnya berkaitan dengan agenda liberal; Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT); dan juga agenda menghina keperibadian ahli-ahli politik khususnya.

“Ini merupakan satu budaya dan sikap yang tidak mencerminkan sebuah negara dan masyarakat yang bertamadun lebih-lebih lagi, kalau kita lihat pada masa sekarang kerajaan pada masa kini turut mempromosikan sebuah agenda madani iaitu sebuah masyarakat yang bertamadun. 

“Oleh yang demikian, jikalau kalau timbul perkara-perkara sedemikian ia boleh menjadikannya bertentangan dengan agenda kerajaan itu sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2023

- Advertisement -