Kes saman fitnah: Sanusi nafi berniat jahat

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai apa-apa niat jahat dan memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap dalam satu kempen pilihan raya ‘Jelajah PN Best Tambun’ tahun lepas.

- Advertisement -

Muhammad Sanusi, 48, dalam pernyataan pembelaannya bagi menjawab saman fitnah Perdana Menteri terhadapnya sebaliknya berkata beliau sekadar mengkritik Anwar bagi tujuan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Plaintif selaku seorang politikus seharusnya berani bertanggungjawab atas fakta-fakta yang dinyatakan oleh saya dan tidak tersinggung dengan teguran, saranan dan kritikan yang dibuat oleh saya dan masyarakat,” kata Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu menerusi pernyataan pembelaan yang difailkan menerusi Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada 13 Feb lepas.

Pada 11 Jan lepas, Mahkamah Tinggi Alor Setar mengarahkan Menteri Besar Kedah itu memfailkan pernyataan pembelaan bagi menjawab saman fitnah difailkan Pengerusi Pakatan Harapan itu, selewat-lewatnya 13 Feb.

Saman yang difailkan pada 13 Dis tahun lepas berkenaan berhubung ucapan berbaur fitnah dalam satu kempen ceramah pilihan raya ‘Jelajah PN Best Tambun’ yang didakwa mengaitkan Anwar dengan perlakuan tidak bermoral.

Muhammad Sanusi dalam pernyataan pembelaannya turut menegaskan bahawa beliau hanya menjalankan tanggungjawab dan kebebasan bersuara yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan, sebagaimana juga plaintif yang bukan sahaja mengkritik, bahkan membuat tuduhan ke atas parti lawan dalam tempoh kempen pilihan raya.

“Oleh demikian, ucapan tersebut memberi sudut pandang berbeza dan kritikan ke atas plaintif bersandarkan kepada fakta dan rekod yang benar berkaitan plaintif tidak seharusnya disekat dan dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.

Sementara itu, Anwar menerusi jawapan kepada pembelaan yang difailkan pada 13 Mac lepas menegaskan bahawa hak defendan untuk kebebasan bersuara adalah tidak mutlak dan tertakluk kepada pelbagai sekatan dan ceramah politik termasuk dalam peruntukan di bawah Akta Fitnah 1957.

Menurut Anwar, defendan mengungkapkan kata-kata fitnah itu kepada pengundi di Tambun dan ia bukan kawasan pilihan raya defendan.

Anwar, 75, dalam pernyataan tuntutannya berkata pada 13 Nov tahun lepas Muhammad Sanusi telah memberi ucapan pilihan raya pada ceramah tersebut sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.

Menurut Anwar, ucapan dalam ceramah itu telah diterbitkan atau menyebabkan penerbitan semula dan disiarkan secara siaran langsung di aplikasi Facebook di bawah nama “Faizal Azumu” yang mendapat tontonan melebihi 88,000 kali, 531 reaksi, 58 kali perkongsian dan 384 komen, setakat tarikh pemfailan saman itu.

Menurut Presiden PKR itu, pada 14 Nov 2022, kenyataan fitnah daripada video tersebut telah dipetik oleh MalaysiaKini dan portal itu menerbitkan satu artikel dalam Bahasa Malaysia dan Inggeris. – BERNAMA

- Advertisement -