Kerajaan tidak serius gubal Akta Dana Politik

Wan Saiful Wan Jan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan Perpaduan bukan saja hilang fokus untuk memimpin negara, malah cuba berselindung dengan membuat tuduhan kepada pihak lain.

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, berkata kerajaan gagal menjaga kebajikan rakyat, selain tidak serius melakukan reformasi institusi.

- Advertisement -

“Hubungan antarabangsa kita tenggelam, dari segi perdagangan antarabangsa juga tenggelam, tidak tahu ke mana hala tuju kerajaan sekarang ini.

“Malah, kerajaan cuba menutup kegagalan itu dengan memalitkan orang lain melalui pelbagai tuduhan dan pendakwaan di mahkamah,” katanya dalam temu bual bersama Harakah di Pejabat Bersatu di Parlimen, baru-baru ini.

Mengulas usaha mewujudkan Akta Dana Politik, Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata, kerajaan sepatutnya boleh menggubal akta berkenaan dengan mudah jika berhasrat untuk melaksanakannya.

“Jika kerajaan hendak selesaikan isu dana politik ini, perkenalkanlah Akta Dana Politik, Sidang Parlimen ini sebulan lebih, mengapa tidak dibawa ke dalam Sidang Parlimen?

“Itu menunjukkan kerajaan hari ini tidak memberi keutamaan kepada reformasi institusi. Yang Anwar (Datuk Seri Anwar Ibrahim) laungkan sebelum ini, ‘Reformasi! Reformasi!’ ini tipu sahaja.

“Saya rasa ramai dalam kalangan kita, termasuk pembaca Harakah dan saya yang berdemo tengah jalan, tengah panas, laung reformasi dahulu, sekarang baru kita nampak sikap sebenar Anwar,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2023

- Advertisement -