Kelantan bayar balik pinjaman projek bekalan air

- Advertisement -

SELEPAS lebih 10 tahun Kelantan terpaksa berusaha sendiri bagi menyediakan bekalan air bersih kepada rakyat, akhirnya kerajaan pusat menyalur pinjaman mudah sebanyak RM600 juta.

- Advertisement -

Bagaimanapun jumlah pinjaman yang diberi kerajaan persekutuan bukan RM600 juta sebagaimana dijanjikan, sebaliknya hanya memberi separuh daripada jumlah yang dipohon iaitu sebanyak RM291 juta.

Pinjaman itu diberi berdasar kepada projek yang dilaksanakan. Biarpun Kelantan diberi pinjaman, namun Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tiada hak untuk melantik kontraktor sendiri. Jauh sekali untuk memilih kontraktor.

Dr Nazmi Ghazali Azmi

Pengurus Besar AKSB Dr Nazmi Ghazali Azmi berkata, sepatutnya pinjaman RM291 juta itu kena masuk dalam akaun AKSB bagi membolehkan mengurus sendiri termasuk pelantikan kontraktor dan memantau projek yang dijalankan.

“Tetapi apa yang berlaku pada masa itu semua dikawal melalui kementerian berkaitan. AKSB hanya menguruskan pembayaran sedangkan semua kerja termasuk tuntutan dibuat oleh kontraktor.

“Kerajaan persekutuan meminta AKSB membayar tuntutan dibuat kontraktor yang dilantik kementerian. Itulah kekangan yang berlaku biarpun peruntukan itu diberi kepada Kelantan atas nama pinjaman,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ditanya kemungkinan ada ada syarikat dipilih oleh Kementerian Kewangan bermasalah sehinggga menyebabkan bebanannya terpaksa dipikul AKSB, Dr Nazmi mengakui ada syarikat yang dilantik kementerian bermasalah.

Bagaimanapun kata beliau AKSB tetap diarah membayar kepada kontraktor terbabit berdasar pinjaman yang diberi kerajaan pusat.

Pinjaman RM291 juta

Hasil daripada pinjaman tersebut membolehkan Loji Rawatan Air (LRA) yang paling awal dibina di Kelantan iaitu di Kampung Chicha, Merbau Chondong dan beberapa lagi.

Projek dilaksanakan sehingga pinjaman RM291 juta habis digunakan bagi menyelesaikan masalah bekalan air kepada rakyat Kelantan.

Bagaimanapun dalam masa yang sama AKSB juga berdepan dengan masalah kehilangan air dalam paip yang disalurkan ke rumah pengguna.

Isu ‘non revenue water’ (NRW) merupakan isu air yang dikeluarkan tetapi tidak sampai sepenuhnya kepada pengguna. Apa puncanya.

Dr Nazmi berkata, paip lama yang ada sekarang berusia 35 hingga 40 tahun menyebabkan sering berlaku kebocoran di sana sini.

Kebocoran paip tidak dapat dikesan pada peringkat awal kecuali selepas air yang bocor keluar sehingga ke permukaan tanah.
“Berdasar rekod, peratus kehilangan air di Kelantan sentiasa meningkat. Pada tahun 2019 NRW berada sekitar 49 peratus dan sekarang meningkat kepada 53 peratus.

“AKSB berdepan dengan cabaran bagi mengurangkan NRW, dan sasaran kita bagi tahun 2023 untuk kurangkan 2 peratus daripada 53 peratus yang ada sekarang.

“Ini satu cabaran yang besar kepada AKSB. Kita juga mengesan kehilangan air melalui meter air yang tidak cekap kerana keadaan meter yang uzur dan tidak cekap,” ujarnya.

Apa yang berlaku air masuk banyak tetapi bacaan meter rendah. AKSB juga menyasarkan menukar kira-kira 16,000 meter lama pada tahun ini.

AKSB juga berusaha memasang Smart meter digital yang baharu menggantikan meter lama yang dipanggil meter analog.

Bagaimanapun menurut Dr Nazmi pemasangan smart meter digital tidak dilaksana secara menyeluruh memandangkan harga smart meter jauh lebih mahal berbanding harga meter mekanikal.

Pinjaman dibayar balik

Kelantan membayar balik pinjaman RM291 juta yang dilulus kerajaan pusat pada awal 2000 dan sehingga sekarang jumlah hutang sudah selesai.

Bagaimanapun difahamkan ada negeri-negeri lain tidak membayar peruntukan yang diberi kerajaan pusat.

Dr Nazmi juga berkata, kalau dilihat dari segi pengoperasi loji air ia berkait rapat dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang membekalkan elektrik.

Malah setiap bulan kata beliau AKSB membayar sebanyak RM4 juta bil elektrik semua loji AKSB.

“AKSB tidak pernah gagal bayar walaupun ada tunggakan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dua tahun lepas. Semua bil semasa kita telah bayar,” tambahnya.

Bagaimanapun difahamkan ada negeri yang mempunyai bil elektrik sehingga RM8 juta sebulan, namun difahamkan hanya bayar RM1 juta sahaja sebulan.

Migrasi bekalan air

Selepas kerajaan negeri menandatangi perjanjian dengan kerajaan persekutuan bagi migrasi projek bekalan air pada tahun 2016 PAAB memberi pinjaman kewangan kepada AKSB untuk setiap pembinaan LRA yang baharu dan penggantian paip lama.

Pembiayaan dibuat oleh PAAB. Pembiayaan itu dalam bentuk pinjaman melibatkan serahan tanah AKSB dan pajakan tanah.

Program migrasi memberi kelebihan iaitu kadar faedah pinjaman yang rendah dikenakan PAAB.
Bagaimanapun tapak projek LRA didaftar dengan nama PAAB bersama AKSB. Program migrasi juga memberi kelebihan kepada kerajaan negeri memandangkan semua hutang yang ada pada masa itu dianggap diambil alih oleh PAAB.

Jadi bermula 2016 hutang kerajaan negeri yang lama berkaitan projek bekalan air menjadi kosong. Bagaimanapun hutang yang baharu tetap perlu dibayar oleh AKSB dalam bayaran sewa pajakan.

Selepas migrasi dilaksanakan AKSB melalui operational period (OP) mula-mula ‘sign’ migrasi yang dikenali sebagai OP 1. Selepas menandatangani migrasi, projek bermula dipanggil OP 2 dan sekarang dipanggil OP 4.

OP 4 akan berakhir pada hujung tahun 2023. Jadi bermula 2024 dipanggil OP 5. Dan di bawah setiap OP banyak jumlah yang dikeluarkan oleh PAAB.

“Keseluruhan peruntukan PAAB kepada Kelantan disediakan sebanyak RM1.09 bilion bagi OP2 hingga OP4.

“Daripada jumlah peruntukan itu kita telah pohon sebanyak RM865 juta dan yang telah diluluskan oleh PAAB sebanyak RM682 juta dan amaun yang diberikan berjumlah RM342 juta.

“Semuanya itu dalam bentuk hutang yang telah mula dibayar oleh AKSB dalam tahun 2022. Peruntukan yang dikeluarkan based on project,” kata Dr Nazmi. – HARAKAHDAILY 17/3/2023

- Advertisement -