Air: Layak terima BALB tanpa perlu tunggu BN perintah

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Exco Kerajaan Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, negeri layak menerima peruntukan bawah projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) tanpa perlu menunggu BN memerintah negeri.

- Advertisement -

Menurutnya, isu bekalan air bersih akan terus bergerak dan berbangkit seiring dengan pertambahan penduduk, pembangunan perumahan dan pusat komersial baru serta pelbagai lagi evolusi kehidupan manusia sampai hari kiamat.

Contohnya, ujar beliau paip air yang dipasang lima tahun lepas tentu sudah tidak mampu lagi menampung keperluan tahun semasa sekarang.

“Apatah lagi, paip itu sudah berusia lebih 30 tahun.

“Setelah puluhan tahun BN perintah Terengganu, bila PAS ambil alih pada tahun 2018, banyak lagi aduan yang kita terima berkaitan isu bekalan air,” ujarnya dalam hantaran di Facebook beliau, hari ini.

Beliau yang juga Adun Jabi berkata, di kawasannya sahaja telah dipasang paip baru di Kg Tok Dor, Kg Bukit Tanah, Kg Renek, Kg Batang Gergaji, Kg Pohon Tal, Kg Anak Ikan, Kg Tanah Merah, Kg Tok Dat dan Kg Seri Tanjung Gong Pasir dalam tempoh lima tahun terakhir ini.

“Maknanya ada isu yang belum selesai. Itu normal sahaja.

“Bila kita pasang paip baru dengan pelbagai sumber peruntukan, kita tak tanya pun apa yang BN buat sebelum ini walaupun tempat yang kita pasang paip bukanlah kawasan penempatan baru,” katanya.

Justeru, Pengerusi Jawatankuasa. Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri itu berkata, jangan mempolitikkan isu rakyat seperti isu air.

Menurutnya lagi, di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah yang diterajui Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ada peruntukan bawah projek BALB.

“Negeri-negeri pembangkang Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis semuanya masuk dalam Wilayah Malaysia.

“Rasanya layak terima peruntukan bawah BALB tanpa perlu tunggu nanti BN perintah negeri,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 17/3/2023

- Advertisement -