Wujudkan sistem amaran awal banjir puing

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mewujudkan sistem amaran awal, selain melakukan pemetaan dan pemantauan terhadap kawasan berpotensi dilanda bencana banjir puing.

Che Alias Hamid (PN-Kemaman) berkata, sistem amaran awal itu penting bagi mengurangkan impak bencana geologi di kawasan berisiko seluruh negara.

Advertisement

Katanya, pemetaan dan pemantauan berkala kawasan berpotensi dan pernah berlaku aliran dan banjir puing pula perlu untuk pengurusan pengurangan risiko bencana geologi di seluruh negara.

“Perkara ini menjadi keutamaan kerana pemetaan kawasan merupakan langkah mitigasi yang penting bagi memastikan pembangunan dan penempatan tidak dilakukan di kawasan yang berisiko.

“Walaupun banjir puing jarang berlaku seperti banjir monsun, tetapi fenomena ini sering berlaku di kawasan pergunungan negara, bermula pada cerun yang curam hingga kaki pergunungan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Sumber Asli dan Perubahan Iklim di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, beliau mengharapkan kerajaan memandang serius tentang bencana banjir puing dengan peruntukan khas dalam menangani bencana berkenaan.

Dalam perbahasan sama, Che Alias turut mencadangkan kementerian mewujudkan Jabatan Perubahan Iklim dengan penambahan bilangan pegawai yang menfokuskan perubahan iklim.

Katanya, usaha itu perlu bagi memastikan dan memperlihatkan kesungguhan negara dalam menangani isu tersebut. – HARAKAHDAILY 16/3/2023