Tawaran Umno selesai masalah air bersyarat

Zahid hina rakyat Kelantan

- Advertisement -

PRESIDEN Umno yang juga Timbalan Perdana Menteri, Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk kesekian kalinya membuat tawaran yang menghina rakyat Kelantan. Isu air tidak seharusnya dipolitikkan dan disekat geran bantuan mengikut konsep federalisme sekalipun berlainan politik kerajaan negeri.

Punca masalah air Kelantan hakikatnya disebabkan dendam politik Barisan Nasional sejak 1990 dengan sekatan peruntukan dan bantuan atas faktor Kelantan ditadbir PAS. Pada masa itu yang memegang Menteri Kewangan adalah Perdana Menteri hari ini.

Sayugia saya mahu sebutkan, pengkhianatan terhadap air Kelantan sejak 1990 masih belum boleh dimaafkan dan hari ini Zahid sekali lagi menghina hubungan federalisme negeri dan Persekutuan dengan meletakkan syarat Umno menang, peruntukan akan disalurkan.

Atas prinsip pentadbiran dan kepentingan rakyat, dendam politik tidak sepatutnya berada di hadapan. Hentikan politik dendam dan kembalikan peruntukan dan bantuan atas hak rakyat Kelantan untuk mendapat air bersih selayaknya sebagaimana negeri lain.

Zahid jangan hina rakyat Kelantan, apa lagi mengulangi pengkhianatan Umno dan Barisan Nasional.

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -