Sungai tercemar jejas ekopelancongan Masjid Tanah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pencemaran di Sungai Linggi, Masjid Tanah akibat pembuangan sampah boleh merencatkan aktiviti ekopelancongan di situ, kata Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah).

Menurutnya, pemandangan buruk kerana sampah sarap jelas kelihatan, terutama ketika air surut memberi gambaran yang amat tidak cantik.

- Advertisement -

“Di Parlimen Masjid Tanah, pencemaran berlaku di Sungai Linggi akibat terlalu banyak sampah sarap yang menyakitkan mata dan menyakitkan hati kerana kita selalu turun ke sungai.

“Ini kerana Masjid Tanah sedang mempromosikan dan memberi perhatian terhadap ekopelancongan. Jadi ramai tetamu, pelancong datang dari luar. Mereka naik bot,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Dewan Rakyat, hari ini.

Mas Ermieyati berharap pihak kementerian dapat memberi perhatian terhadap perkara ini, termasuk masalah sampah-sarap di longkang dan sebagainya.

Beliau turut berharap agar kementerian dapat mengambil perhatian terhadap satu inisiatif oleh sekumpulan anak muda di Indonesia yang diberi nama ‘Pandawara Grup’ dalam aktiviti menjaga kebersihan.

“Mereka bermula dan membersihkan sampah di longkang dan akhirnya mencetuskan semangat kesukarelawanan yang tinggi kepada anak muda Indonesia untuk membersihkan sungai dan longkang. Ini adalah suatu kesan yang sangat baik.

“Adakah pihak kementerian mempunyai inisiatif seumpama itu untuk membantu NGO atau aktiviti sukarelawan atau aktivis, terutama dalam isu pencemaran bagi membantu usaha membersihkan alam sekitar,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -