Sulu: Mahkamah Paris kekal penangguhan diberi kepada Malaysia

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Paris mengekalkan penangguhan yang diberikan kepada Malaysia terhadap penguatkuasaan final award kepada kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu.

- Advertisement -

Sekretariat khas kerajaan yang mengendalikan isu berkenaan dalam satu kenyataan memaklumkan, mahkamah tersebut memutuskan bahawa cabaran waris kumpulan Sulu terhadap perintah penangguhan itu, tidak boleh diterima.

“Oleh itu, penangguhan yang diperoleh Malaysia pada 12 Julai 2022, untuk penguatkuasaan final award itu, kekal,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menegaskan perintah penangguhan yang diberikan pada 12 Julai 2022 merupakan satu keputusan yang luar biasa dan ia berfungsi untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia bahawa timbang tara komersial yang dikemukakan kumpulan Sulu itu tidak mempunyai asas yang sah dan menjejaskan kedaulatan wilayah Malaysia.

“Malaysia akan terus mempertahankan diri melalui semua saluran perundangan bagi mengatasi semua bentuk tuntutan undang-undang yang dikemuka mana-mana kumpulan penentang,” menurut kenyataan itu.

Pada 15 April 2022, Malaysia memfailkan permohonan penangguhan terhadap penguatkuasaan Final Award yang dikatakan dikeluarkan oleh Dr Gonzalo Stampa pada Februari 2022 di Paris.

Pada 12 Julai 2022, hakim praperbicaraan Mahkamah Rayuan Paris memerintahkan penangguhan penguatkuasaan tanpa syarat di Perancis, sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan Paris, atas alasan ia berkemungkinan menjejaskan kedaulatan wilayah Malaysia.

Kumpulan Sulu memfailkan tuntutan mencabar perintah itu pada 27 Julai 2022, dan perbicaraan mengenainya diadakan pada 16 Jan 2023. – BERNAMA

- Advertisement -