`Server’ kecil, data besar, guru yang susah

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Masalah membabitkan Sistem Pengurusan IDentiti (idMe) dan Sistem Bersepadu KPM (MOEIS) yang menyusahkan guru menyebabkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ditanya sama ada hendak menghentikan sistem berkenaan.

Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) berkata, pelayan (server) yang digunakan kecil, manakala data yang hendak dimasukkan sangat besar.

- Advertisement -

Katanya, inilah yang menyebabkan masalah berlaku kerana guru memasukkan data menggunakan dua cara, iaitu secara manual dan kedua, idMe.

“Dua perkara yang terpaksa guru buat sedangkan kita hendak mengurangkan beban guru,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ketika sesi waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Fadhlina ketika menjawab memberitahu bahawa walaupun berlaku gangguan capaian dan isu teknikal membabitkan sistem berkenaan, KPM tidak bercadang menghentikan atau memansuhkannya.

“Kementerian Pendidikan (KPM) komited menambah baik sistem berkenan kerana masih ada kepentingan untuk mengurangkan beban guru,” katanya.

Terdahulu, beliau memaklumkan KPM menyedari berlaku gangguan capaian terhadap sistem idMe dan MOEIS pada 19 Januari lalu.

Bagaimanapun, katanya isu teknikal dan isu penggunaan sistem dapat diselesaikan pada 11 Februari.

“Prestasi sistem terus dipantau untuk memastikan ia sentiasa beroperasi dengan baik bagi meminimumkan gangguan capaian.

“Sehingga hari ini, sebanyak 89 peratus sekolah di seluruh negara sudah selesai memasukkan data dalam sistem pengurusan MOEIS melalui idMe, manakala bakinya mempunyai pilihan untuk memasuki data sama ada melalui sistem pengurusan atau luar talian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan asal Sim Tze Tzin (PH-Bayan Baru) mengenai sama ada KPM akan melakukan teknikal audit ke atas kedua-dua sistem berkenaan. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -