Pindaan Akta 355 akan dibawa ke Parlimen

KUALA LUMPUR: Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355] akan dibawa ke Parlimen bersama dengan suatu cadangan akta yang baharu iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) dengan tujuan untuk memperkasa Mahkamah Syariah.

Advertisement

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr Mohd Nai’im Mokhtar menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada Ustaz Hassan Saad [PN-Baling] di Dewan Rakyat.

Ustaz Hassan dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan pelan masa bagi pembentangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Menurut Mohd Nai’im lagi, kedua-dua rang undang-undang tersebut akan dibentangkan di Parlimen secara bersekali setelah mendapat persetujuan daripada Jemaah Menteri bagi memastikan hasrat untuk pemerkasaan Mahkamah Syariah dapat direalisasikan. – HARAKAHDAILY 16/3/2023