Pertingkat tahap pengurusan kewangan setiap kementerian

Muhammad Ismi Mat Taib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pada minggu ini menyaksikan sesi sidang Dewan Rakyat telah memasuki fasa perbahasan Belanjawan 2023 bagi peringkat jawatankuasa, kata Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib.

- Advertisement -

Pada minggu lepas, katanya Belanjawan 2023 telah diluluskan di peringkat dasar setelah dua minggu perbahasan daripada ahli-ahli Parlimen kedua-dua belah pihak.

Ketika ini, ujarnya setiap butiran dalam peruntukan bagi butiran kementerian akan dibahaskan oleh ahli-ahli Parlimen manakala menteri diminta memberi pencerahan bagaimanakah peruntukan akan digunakan.

Setelah itu, kata beliau sesi undian bagi setiap kementerian selepas menteri membuat penggulungan akan diadakan.

“Saya berpendapat sesi ini sangat bersesuaian dengan prinsip menjunjung demokrasi di mana dasar ketelusan Kerajaan Persekutuan akan diuji pada sesi perbahasan jawatankuasa ini.

“Namun begitu kebimbangan saya bahawa ujian sebenar bermula adalah ketika peruntukan tersebut telah berada di dalam setiap kementerian,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.  

Beliau memberi contoh berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2021 Siri 2 pada bulan lepas yang menyatakan wujudnya kes pembaziran dana awam melibatkan antaranya berkaitan peralatan ventilator yang dibeli tidak dapat digunakan, penangguhan projek monorel dan depoh bas yang tidak digunakan di Putrajaya.

Beliau berkata, laporan itu juga menyebut terdapat satu kes melibatkan pembayaran tidak teratur bernilai RM100,000 iaitu program pengurusan perkhidmatan ambulans dan perkhidmatan udara dilaksanakan sebelum pesanan tempatan.

“Tercetusnya kekhuatiran saya berkaitan pembaziran dan ketirisan dana awam akan terus berlangsung jika tiada solusi konkrit diketengahkan oleh Kerajaan Persekutuan,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar pegawai Jabatan Audit Negara diletakkan dalam setiap kementerian bagi mengesan dan menyemak sebarang ketirisan dari masa ke masa.

“Bahkan, bagi pandangan saya juga penubuhan ombudsman yang dicadangkan oleh kerajaan dipercepatkan agar segala aduan salah laku penjawat awam dapat diambil tindakan secepat mungkin,” tambahnya.

Selain itu, kata beliau kedudukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dipertimbangkan agar ia bebas dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) atas dasar ketelusan dan kebebasan beroperasi tanpa takut dalam menjalankan tanggungjawab.

“Kita berharap kerajaan baharu mengambil langkah drastik dalam mengelakkan penyelewangan dana awam dari terus berlaku dan seterusnya membantu pelan pemulihan ekonomi negara berjalan lancer,” ujarnya lagi. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -