Perlis tidak abai kebajikan atlet para

Muhammad Azmir Azizan
- Advertisement -

KANGAR: Atlet pekak dan bisu sebelum ini berada di bawah pengurusan Jabatan Belia dan Sukan Negeri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Muhammad Azmir Azizan berkata, fizikal atlet pekak dan bisu sama dengan atlet normal dari keupayaan bersaing.

Namun katanya bermula tahun 2013, Persatuan Pekak Malaysia memohon acara mereka dikeluarkan dari pertandingan Para Sukma dan mengadakan kejohanan sendiri iaitu Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA).

“Mereka ingin bergerak sendiri di bawah Persatuan Pekak Malaysia tanpa melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN),” katanya menjawab soalan Wan Zikri Afthar Ishak (PN-Tambun Tulang) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Bagaimanapun Azmir berkata, kerajaan negeri tidak mengabaikan kebajikan atlet-atlet para negeri itu dan menyediakan fasiliti sukan untuk mereka menjalani latihan.

“Mereka juga boleh menjalani latihan bersama atlet normal terutamanya bagi sukan olahraga, boling padang atau lain-lain jenis sukan,” katanya.

“Kerajaan negeri memberi insentif kepada semua atlet termasuk atlet para yang cemerlang sama ada di peringkat kebangsaan atau antarabangsa.

“Baru-baru ini kerajaan negeri memutuskan memberi insentif sebanyak RM80,500 kepada atlet para yang cemerlang pada temasya Para SUKMA 2022,” katanya.

Menurutnya juga atlet para kebangsaan kelahiran Perlis, Datuk Abdul Latif Romly turut diberi perhatian kerana berjaya membawa pulang pingat emas dalam dua edisi Sukan Paralimpik.

Sebelum ini kerajaan negeri menyalur insentif kemenangan tambahan berjumlah RM150,000 pada tahun 2021 dan insentif berjumlah RM3,000 pada Disember 2022 apabila membawa pulang pingat emas di Temasya Sukan Para ASEAN Solo 2022. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -