PAS kesal kenyataan Hannah Yeoh

- Advertisement -

PADA asasnya PAS menyambut baik semua usaha mewujudkan persefahaman dan keharmonian dalam kalangan rakyat berbilang kaum, agama dan budaya di negara ini sebagai suatu matlamat murni yang perlu dihayati oleh semua golongan malah ia mampu mengelakkan unsur kesalahfahaman dan konflik berikutan perbezaan-perbezaan itu.

PAS mengambil maklum mengenai Projek Artikel 11 yang dianjurkan oleh Impact Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) meliputi program Jom Ziarah yang melibatkan lawatan ke tempat-tempat ibadat pelbagai agama yang dikatakan bertujuan memberi pendedahan kepada pesertanya mengenai aspek-aspek agama-agama berbeza di negara ini seterusnya ke arah membentuk sebuah masyarakat majmuk yang mampu hidup secara harmoni dan lebih bertoleransi.  

Dalam hal berkaitan, PAS menggesa agar program tersebut sekali-kali tidak merupakan program Evangelisme dan ia juga tidak akan melibatkan belia-belia beragama Islam sebagaimana jaminan yang diberikan oleh Menteri KBS Hannah Yeoh di Parlimen pada Selasa (14 Mac 2023). 

Selain itu semua pihak termasuk Menteri berkenaan perlu akur mengenai kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan dan larangan tegas yang ditetapkan oleh undang-undang terhadap penyebaran agama bukan-Islam dalam kalangan orang Islam.  

Bagaimanapun PAS amat dukacita apabila Menteri KBS memetik kenyataan-kenyataan Presiden PAS Tan Sri Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man dalam jawapan beliau di Parlimen sebagai sandaran atau justifikasi kepada program berkenaan. 

Adalah amat nyata apa dipetik tersebut dibuat tanpa menjelaskan konteks ianya dibuat dan tanpa penerangan tepat berhubung kenyataan-kenyataan itu sama ada oleh individu terbabit secara langsung atau pihak-pihak yang mewakili mereka.  

PAS ingin menyatakan apa yang paling penting difahami dalam hal ini adalah kenyataan-kenyataan tersebut dibuat dalam konteks bahawa semua bentuk hubungan, keterlibatan, lawatan atau sebagainya antara orang Islam dengan bukan-Islam, baik secara individu atau kumpulan, hanya dibenarkan dalam perkara-perkara yang bukan ritual atau keagamaan, bukan pula terbuka penyertaannya tanpa syarat, dan segala usaha mesti dibuat bagi memastikan syarat-syarat itu tidak dilanggar.  

Selain itu, PAS juga berasa amat kesal apabila Menteri KBS memetik kenyataan-kenyataan itu secara tidak adil atau tidak bermaruah dengan menggunakannya sebagai ‘senjata politik’ bertujuan menimbulkan pertelagahan antara PAS dengan parti BERSATU yang merupakan komponen dalam PERIKATAN NASIONAL (PN). 

Tindakan tersebut menjadi lebih terserlah motifnya apabila beliau tidak memberi ruang kepada wakil PAS ataupun BERSATU untuk memberi respons terhadap kenyataan beliau itu. 

Apatah lagi Menteri berkenaan tampak bercakap mengenai peri pentingnya keharmonian dan persefahaman dalam masyarakat, seolah-olah ia merupakan subjek eksklusif yang tidak terpakai atau melibatkan pihak-pihak lain yang dilihat tidak sealiran dengan beliau.

Justeru itu PAS menegaskan program yang dirancang tidak sewajarnya diteruskan oleh pihak berkenaan andainya ia dibayangkan bukan sahaja tidak dapat mencapai hasrat yang dinyatakan malahan berkemungkinan meluaskan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud dan boleh pula mengundang kepada bantahan terbuka yang jauh lebih membimbangkan.

TAKIYUDDIN HASSAN 
Setiausaha Agung PAS
16 Mac 2023 – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -