Mengapa ada klinik KKM tolak pesakit?

KUALA LUMPUR: ‘No Wrong Door Policy’ yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dipersoalkan apabila terdapat isu pesakit ditolak untuk mendapatkan rawatan di klinik di luar kawasan persempadanan.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata, semasa beliau merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selat Klang, Jambatan Ketiga Klang dibina kerajaan Selangor.

Advertisement

Katanya, pembinaan jambatan itu menyebabkan Klinik Ibu Mengandung dan Kanak-Kanak Sungai Bertek, perlu dirobohkan dan digantikan dengan Klinik Kesihatan Sungai Bertek.

“Setelah selesai pembinaan dan klinik mula beroperasi, saya diminta klinik itu untuk memberitahu penduduk sekitar Selat Klang, Sungai Udang, dan Kampung Delek mengenai pengoperasiannya,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, pada sesi waktu pertanyaan menteri, di Dewan Rakyat, hari ini.

Malangnya kata Dr Halimah, selepas persempadanan semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14, jambatan itu memisahkan sebahagian penduduk Selat Klang berada di bawah Parlimen Klang.

Katanya, walaupun hanya dipisahkan dengan jarak yang dekat, kurang 1 kilometer, penduduk mengadu ditolak untuk menerima rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Bertek dan diminta ke Klinik Pandamaran.

“Justeru itu, saya mahu penjelasan mengenai ‘No Wrong Door Policy’ ini, kenapa itu berlaku, mungkin adakah disebabkan kekurangan staf, ubat atau sebagainya?” katanya.

Menjawab persoalan itu, Dr Zaliha meminta Dr Halimah membuat aduan mengenai perkara berkenaan dan KKM akan membuat siasatan serta mengambil tindakan susulan sewajarnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023