MAIWP agihkan RM9.46 juta bantuan Ihya’ Ramadan

Mohd Na’im (dua dari kiri) dan Mohd Ajib dalam Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah 1444H/2023M bagi Wilayah Persekutuan. di Kuala Lumpur pada 16 Mac 2023. (FOTO: MAIWP)
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan dana berjumlah RM9.46 juta (RM9,458,500) kepada 809 buah masjid, surau Jumaat dan surau biasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya bagi aktiviti Ihya’ Ramadan bagi tahun 1444H/2023M.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Setiausaha MAIWP, Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, persidangan yang diadakan ini di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur adalah menggabungkan tiga agenda utama iaitu Pengurusan Masjid dan Surau Jumaat, Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Penyampaian Tauliah Amil Zakat Fitrah 1444H/2023M bagi Wilayah Persekutuan. 

- Advertisement -

“Persidangan ini adalah anjuran bersama daripada pihak JAWI, MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat (PPZ-MAIWP).

“Program ini merupakan salah satu keprihatinan MAIWP untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan menjaga kebajikan serta keperluan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan termasuk keperluan di masjid dan surau,” ujarnya. 

Sehubungan itu, beliau turut memperincikan jumlah agihan yang diberikan bagi melaksanakan program Ihya’ Ramadan bagi tahun ini kepada 90 buah masjid di Wilayah Persekutuan sebanyak RM15,000.

Sementara, RM12,500 diberikan kepada 133 buah surau Jumaat dan RM11,000 lagi kepada 586 buah surau biasa di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Tambah beliau, melihat kepada realiti peningkatan kos sara hidup pada masa kini dan ramai yang terkesan akibat wabak Covid-19 terutamanya golongan B40, kerajaan melalui MAIWP telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4 juta bagi melaksanakan program Iftar Rahmah Ramadan.

Program bantuan Ihya’ Ramadan merupakan salah satu keprihatinan MAIWP untuk menyediakan pelbagai kemudahan dan menjaga kebajikan serta keperluan masyarakat Islam di Wilayah Persekutuan.

“Melalui program ini, sebanyak 70 buah masjid dan surau jumaat di Wilayah Persekutuan yang terlibat.

“Makanan Iftar Rahmah Ramadan akan diagihkan secara percuma sepanjang bulan Ramadan tahun ini. yang bakal memberi manfaat kepada kira-kira 630,000 orang golongan miskin dan fi sabilillah,” jelasnya. 

Majlis yang berlangsung itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im  Mokhtar. 

Beliau telah menyampaikan mock cek Bantuan Ihya Ramadan kepada wakil di setiap zon di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya dan pemberian sijil pentauliahan sebagai amil zakat fitrah kepada peserta yang terpilih bagi mewakili Wilayah Persekutuan.   

Sehubungan itu juga, Dr Mohd Na’im turut mengumumkan kadar pembayaran zakat bagi Wilayah Persekutuan dipecahkan kepada 3 kategori iaitu RM7, RM14 dan RM21 seorang setelah mendapat persetujuan bersama daripada Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan.

“Kadar RM7 itu berdasarkan kepada satu gantang Baghdad atau harga bagi 2.6 kilogram beras yang lazimnya digunakan oleh masyarakat di Wilayah Persekutuan.

“Sementara, dua lagi kadar zakat fitrah RM14 dan RM21 ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan dan ingin membayar mengikut harga beras dimakan bagi diri dan tanggungan,” katanya. 

Sementara itu, antara yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dato Dr. Sirajuddin Suhaimee; Pengurus Baitulmal MAIWP, Ustaz Ahmad Talmizi Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) PPZ-MAIWP, En. Mohammed Hassan.

Peruntukan sebanyak RM4 juta telah diluluskan bagi MAIWP melaksanakan program Iftar Rahmah Ramadan 2023.

Dr Mohd Na’im turut memberitahu, pada tahun ini PPZ-MAIWP juga telah melantik seramai 921 orang ketua dan penolong amil fitrah di seluruh Wilayah Persekutuan untuk mengutip zakat fitrah.

“Sebanyak 10 kaunter zakat PPZ-MAIWP, masjid-masjid, surau-surau, pasaraya dan beberapa lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai akan beroperasi.

“Setiap amil juga dibekalkan dengan Kod Respon Pantas atau Quick Response Code (kod QR) bagi memudahkan transaksi tanpa tunai.

“PPZ-MAIWP turut menyediakan pembayaran secara dalam talian melalui pautan fitrah.zakat.com.my yang membolehkan bayaran dibuat melalui telefon pintar atau komputer pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja,” jelas beliau.

Selain itu, PPZ-MAIWP turut melantik 28 ejen online kutipan zakat fitrah termasuk 15 buah perbankan internet, Ewallet (Boost, Shopee, Tulus, The Noor, GoPayz dan Mae) dan Portal (Senang Pay, Myeg, PayHalal, MyPay, Elzar Shariah, Al Amin dan MyVerify). – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -