Kos sara hidup semakin menekan rakyat

Dato' Seri Dr Shahidan Kasim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr Shahidan Kasim menyatakan kos sara hidup masih lagi tinggi dan dilihat semakin menekan rakyat.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah peranan dan pencapaian terkini Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang ditubuhkan semasa pemerintahan kerajaan lepas.

Beliau bertanyakan perkara itu pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Soalan daripada Ahli-ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini sebagaimana di bawah.

Tuan Ahmad Tarmizi bin Sulaiman [Sik] minta Menteri Pertahanan menyatakan kebolehoperasian radar-radar TUDM di sepanjang kawasan Laut China Selatan bagi tujuan pemantauan maritim.

Dato’ Wira Dr. Ku Abd Rahman bin Ku Ismail [Kubang Pasu] minta Menteri Ekonomi menyatakan inisiatif Kerajaan untuk memperkasakan Environment, Social and Government (ESG) di Malaysia.

Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh [Pasir Puteh] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan apakah strategi Kerajaan Malaysia Madani dalam memastikan kesinambungan usaha mendigitalisasikan PKS Malaysia secara langsung yang lebih efisyen berbanding ketika ini dilihat lebih berfokus kepada pemberian geran melibatkan pemain industri multinasional seperti Maxis, Digi dan lain-lain dengan menyediakan platform dan latihan automasi PKS.

Dato’ Seri Dr. Shahidan bin Kasim [Arau] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah peranan dan pencapaian terkini Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) yang ditubuhkan semasa pemerintahan Kerajaan lepas kerana kos sara hidup masih lagi tinggi dan dilihat semakin menekan rakyat di Malaysia.

Tuan Wan Razali bin Wan Nor [Kuantan] minta Perdana Menteri menyatakan jumlah kerugian yang ditanggung kesan banjir di seluruh negara sejak sepuluh tahun lalu.

Datuk Wira Hajah Mas Ermieyati binti Samsudin [Masjid Tanah] minta Menteri Pertahanan menyatakan apakah status cadangan bagi menggantikan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi mengatasi isu perpaduan dan jati diri sebagaimana yang pernah diumumkan akan peri pentingnya keperluan program berkenaan.

Dato’ Haji Abdul Khalib bin Abdullah [Rompin] minta Menteri Pendidikan Tinggi menyatakan apakah langkah-langkah Kementerian untuk meningkatkan tahap pengetahuan terutama pengetahuan dalam bidang akademik kepada pekerja-pekerja industri dalam usaha meningkatkan bilangan ‘Knowledge Worker’ dalam industri di negara kita.

Tuan Rushdan bin Rusmi [Padang Besar] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan langkah dan strategi Kementerian dalam mencapai kesamarataan kadar penembusan terutama untuk negeri Perlis.

Tuan Haji Bakri bin Jamaluddin [Tangga Batu] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah ada usaha atau mekanisme untuk memberikan subsidi khas bersasar minyak masak bagi kegunaan perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil pinggir jalan yang mana majoritinya berada dalam golongan B40.

Tuan Hassan bin Saad [Baling] minta Perdana Menteri menyatakan pelan masa bagi pembentangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 [Akta 355].

Dato’ Hajah Siti Zailah binti Mohd Yusoff [Rantau Panjang] minta Perdana Menteri menyatakan status My-SPC bagi memastikan kebajikan rakyat yang terbawah dan memerlukan mendapat bantuan yang sewajarnya dan bantuan kebajikan yang diberikan adalah lebih sistematik dan bersasar.

Ir. Ts. Haji Khairil Nizam bin Khirudin [Jerantut] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan komitmen Kementerian untuk memastikan liputan jalur lebar yang menyeluruh dan stabil di kawasan-kawasan penting terutamanya di fasiliti perubatan dan kesihatan serta fasiliti Kerajaan yang lain.

Tuan Ahmad Fadhli bin Shaari [Pasir Mas] minta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi menyatakan usaha-usaha yang telah dilaksanakan oleh Kementerian bagi membantu para usahawan muda di Negeri Kelantan dalam meningkatkan kemahiran perniagaan mereka.

Dato’ Rosol bin Wahid [Hulu Terengganu] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah perancangan Kementerian untuk menangani isu penipuan penjualan dalam talian dan apakah perkembangan terkini usaha untuk mewujudkan lesen khas perniagaan dalam talian.

Tuan Mohd Nazri bin Abu Hassan [Merbok] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan bahawa Astro telah mengaut keuntungan bersih sebanyak RM460.87 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Januari 2022. Adakah Kementerian bercadang untuk mengawal dan mengurangkan bayaran yang terlalu tinggi yang dikenakan kepada pengguna.

Datuk Haji Ahmad Marzuk bin Shaary [Pengkalan Chepa] minta Menteri Komunikasi dan Digital menyatakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian untuk meningkatkan capaian internet bertaraf 5G di kawasan luar bandar dan universiti.

Datuk Che Mohamad Zulkifly bin Jusoh [Besut] minta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah kebenaran terhadap ura-ura dan dakwaan bahawa Kerajaan mempunyai perancangan untuk menukar Peguam Negara, Ketua Hakim Negara, Ketua Polis Negara, dan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang sedia ada.

Dato’ Azman bin Nasrudin [Padang Serai] minta Menteri Ekonomi menyatakan:

(a) berapa data keluarga yang jatuh dari T20 ke M40, M40 ke B40 dan B40 ke B60; dan (b) apakah langkah-langkah Kerajaan campuran dalam menangani isu ini khususnya dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tan Sri Haji Abdul Hadi bin Awang [Marang] minta Perdana Menteri menyatakan apakah langkah yang telah diambil oleh Kerajaan untuk memerangi rasuah dan mewujudkan pentadbiran badan eksekutif yang beramanah dan bersih.

Datuk Seri Takiyuddin bin Hassan [Kota Bharu] minta Perdana Menteri menyatakan apakah Kerajaan akan mewujudkan kembali pasukan National Task Force (NTF) yang telah bukti berjaya dalam melaksanakan Operasi Benteng sejak ditubuhkan pada Mei 2020.

Tuan Haji Muhammad Islahuddin bin Abas [Mersing] minta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan mempunyai perancangan untuk membina sebuah bangunan persekutuan di Parlimen Mersing.

Tuan Abdul Latiff bin Abdul Rahman [Kuala Krai] minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan perancangan Kerajaan untuk mengekang pencatutan harga barang dalam rantaian perbekalan dari peringkat pengeluar hingga ke peringkat pengguna.        

Tuan Haji Kamal bin Ashaari [Kuala Krau] minta Perdana Menteri menyatakan peranan Kerajaan bagi memastikan pembinaan rumah untuk generasi kedua dan ketiga FELDA tidak terbengkalai dan diselesaikan segera.

Waktu Pertanyaan Menteri

Dr. Hajah Halimah Ali [Kapar] minta Menteri Kesihatan menyatakan adakah pihak Kementerian ada membuat ketetapan melarang pesakit menggunakan khidmat klinik kesihatan yang lebih dekat dengan rumah mereka selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -