Kelonggaran peniaga kecil guna minyak paket bersubsidi

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengakui penggunaan minyak masak paket bersubsidi dapat membantu peniaga-peniaga kecil daripada mengambil langkah untuk meningkatkan harga jualan.

- Advertisement -

Sehubungan itu, KPDN telah melaksanakan penguatkuasaan berimbang (balanced enforcement) di mana penggunaan minyak masak paket bersubsidi oleh peniaga-peniaga kecil telah pun diberikan kelonggaran dan tidak diambil tindakan.

“Langkah ini juga membantu memastikan harga makanan bermasak tidak meningkat dan membebankan pengguna yang membeli,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Bakri Jamaluddin [PN-Tangga Batu] di Dewan Rakyat, hari ini.

Bakri dalam soalannya meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan apakah ada usaha atau mekanisme untuk memberikan subsidi khas bersasar minyak masak bagi kegunaan perniagaan kepada peniaga-peniaga kecil pinggir jalan yang mana majoritinya berada dalam golongan B40.

Menurut kementerian, KPDN juga mendapati kelonggaran syarat itu tidak boleh berterusan secara berpanjangan kerana ia mewujudkan persaingan diantara kumpulan peniaga-peniaga kecil dan pengguna untuk mendapatkan bekalan minyak masak bersubsidi di pasaran.

“Oleh yang demikian, KPDN kini sedang meneliti semula jumlah kuota sedia ada dan kuota khas untuk kegunaan peniaga-peniaga kecil dan industri mikro serta mekanisme yang bersesuaian untuk agihan secara bersasar kepada kumpulan ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -