Kalau Umno kalah, bekalan air kembali zaman kuno?

- Advertisement -

KELANTAN diunjurkan mencapai permintaan terhadap penggunaan air bersih bagi kegunaan awam dan industri serta komersial sebanyak 860 juta liter sehari (JLH) pada tahun 2030 iaitu 7 tahun lagi.

Setakat akhir tahun lalu (2022), keperluan atau penggunaan air bersih di negeri ini adalah sebanyak 239 JLH melibatkan 271,235 akaun pengguna di kawasan bandar dan luar bandar.

Namun, keupayaan memproses air bersih telah mencapai sehingga 488 JLH menerusi 39 loji rawatan air (LRA) yang beroperasi bagi perbekalan meliputi 73.1 peratus di seluruh negeri ini.

Pun begitu, Kelantan masih mengalami kadar air tidak terhasil (NRW) setinggi 52.6 peratus, di mana sebab terbesarnya kerana infrastruktur yang sudah terlalu usang dan uzur.

Jajaran paip adalah sepanjang 7,201 kilometer di negeri ini di mana 4,491 kilometer memerlukan penukaran, tidak termasuk jajaran baharu kerana pembukaan kawasan yang dibangunkan.

Demikian itu, ia memerlukan intervensi sangat tinggi bagi mengatasi masalah lapuk tersebut, selain pembinaan dan pendekatan terkini dalam memenuhi keperluan perkhidmatan perbekalan.

Walaupun pernah diberikan harapan oleh Perdana Menteri (PM) Ke-6, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, tetapi usaha lebih meyakinkan berlaku semasa pentadbiran PM Ke-9, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Juga semasa PM Ke-9, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menerusi Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) serta Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Beberapa LRA dinaik taraf dan empat LRA baharu sedang dibina, selain penggantian paip lama kepada paip asbestos cement (AC) telah disusun untuk jangka pendek kepada beberapa fasa.

Semua yang dijangka siap sekitar tahun 2025 ini adalah termasuk juga dari peruntukan Kerajaan Negeri Kelantan sendiri di mana akan meningkatkan liputan perkhidmatan sehingga 80 peratus.

Bagi memenuhi keperluan jangka panjang, KASA telahpun mengemukakan cadangan dan permohonan di bawah Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia Ke-12 yang dijangka meningkatkan rizab margin air Kelantan.

Iaitu pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di mana daripada 0 peratus kepada 30 peratus rizab margin, manakala pembinaan LRA Bersepadu bakal menambah kapasiti 500 JLH lagi.

Pembinaan di Labok, Machang itu selain bagi keperluan jajahan tersebut, ia juga akan memenuhi hampir keseluruhan Kelantan terutama Kota Bharu, Pasir Puteh, Tumpat, Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah.

Tiba-tiba Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merayu partinya diberi peluang pada PRN nanti untuk menang memerintah Kelantan 5 tahun dengan berjanji selesaikan masalah air.

Kini Umno selaku komponen Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sedang bersama mentadbir Kerajaan Persekutuan. Apakah dengan kuasa ini ‘tidak cukup’ untuk menyelesaikan perkara itu?

Adakah jika Umno terus gagal mendapat mandat di Kelantan, negeri ini akan terus didiskriminasi atau dikunokan? Apa jaminan sekiranya Umno mendapat mandat, janji itu benar-benar ditunaikan?

Nampaknya politikus Umno kembali bermain dengan tawaran gula-gula pembangunan seperti ‘zaman dulu-dulu’. Ingatkan Umno lepas kalah teruk PRU15 akan maju minda menjangkau ‘zaman ke depan’.

Jangan ingat rakyat Kelantan kebulur dan mudah tertipu dengan penipuan oleh penipu. Janji Presiden Umno itu boleh ‘memundurkan’ kembali Kelantan kerana khianat disebabkan dendam tidak diundi.

Sedangkan jika jujur dan bertanggungjawab, Ahmad Zahid yang kini Timbalan Perdana Menteri tidak perlu menunggu partinya menang di negeri inipun, ia boleh disungguhkan sekarang.

Apatah lagi untuk menyelesaikan masalah tersebut sebenarnya telah berada ‘di masa depan’ dan di atas landasannya, hanya menunggu disempurnakan. Ahmad Zahid nanti hanya perlu ‘claim’ itu adalah usaha beliau.

Kerana dari berjanji yang belum pasti seperti mengejar bayang, ada baiknya Dato’ Seri selesaikan masalah bekalan air tertunggak berpuluh-puluh tahun di Pahang; bentangkan pelan pembangunannya.

Tambahan pula Dato’ Seri memegang portfolio pembangunan luar bandar dalam Kabinet, dan selayaknya guna kuasa Timbalan Perdana Menteri itu ajak juga PH cari penyelesaian masalah air yang membelenggu Lembah Klang.

Dato’ Seri sudah sedia? Jangan nanti yang dicari tak dapat, yang dikendong keciciran.

NAZMAN CHE IBERAHIM
Darulnaim Research Centre – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -