KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan yang telah memperuntukkan sebanyak RM46.1 bilion hanya untuk perbelanjaan kadar faedah susulan hutang negara yang sudah menjangkau sebanyak RM1.2 trillion telah membawa kepada isu riba.
Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali berkata, ia adalah kerana kadar faedah tersebut yang perlu dibayar sangat besar.
“Dalam sistem Islam, apa yang kita pinjam, itu sahaja yang apa kita perlu bayar. Namun, jika ada sahaja tambahan yang wajib dibayar dalam pinjaman termasuklah yang dipanggil sebagai kadar faedah atau bunga, itu semua riba!” tegas beliau kepada HarakahDaily.
Beliau yang merupakan Naib Yang Dipertua PAS kawasan Kapar sehubungan itu, menyarankan agar kerajaan perlu berusaha ‘membersihkan’ wang rakyat daripada belenggu riba.
“Ia adalah supaya sumber pendapatan menjadi lebih berkat; dan kerajaan wajib memfokuskan penggunaan sistem kewangan yang benar-benar mematuhi syariah Islam,” katanya lagi.
Terdahulu, dalam sidang Dewan Rakyat pada 6 Mac 2023 di Parlimen, Dr. Halimah telah menyentuh tentang perkara tersebut, dan menegaskan bahawa belenggu riba merupakan isu yang perlu dibincangkan oleh setiap ahli parlimen di negara ini.
“Bagaimana kerajaan mahu mengeluarkan negara daripada belenggu riba yang membarah ini? Adakah kerajaan mempunyai perancangan untuk melepaskan diri daripada amalan riba?
“Kita (Malaysia) yang sudah 66 tahun merdeka daripada penjajahan British sepatutnya diwujudkan pasukan ilmuan daripada pelbagai kepakaran bagi memerdekakan negara kita daripada sistem riba,” hujah beliau.
Beliau menegaskan bahawa sistem perbankan negara perlu meningkatkan pelaburan berasaskan risiko, bukannya tertumpu kepada penjanaan keuntungan berasaskan produk menerusi hutang atau sistem riba.
“Menurut pensyarah Profesor Dr. Mohd Nazari Ismail, sistem yang tertumpu kepada keuntungan melalui hutang dan mengakibatkan kemelesetan ekonomi, sekali gus memberikan kesan terhadap kos sara hidup masyarakat,” katanya.
Andai diperhalusi dan dikaji kenyataan Dr. Halimah itu ternyata ada kebenarannya. Sesungguhnya riba dalam Islam hukumnya haram, merujuk kepada beberapa ayat dalam al-Quran yang menjelaskan tentang riba.
Berikut sedutan kajian HarakahDaily tentang dalil al-Quran tentang riba dan bahaya riba dari pandangan Islam.
Antaranya ialah Surah Ar-Rum ayat 39 Allah SWT berfirman:
وَمَآ اٰتَيْتُمْ مِّنْ رِّبًا لِّيَرْبُوَا۟ فِيْٓ اَمْوَالِ النَّاسِ فَلَا يَرْبُوْا عِنْدَ اللّٰهِ ۚوَمَآ اٰتَيْتُمْ مِّنْ زَكٰوةٍ تُرِيْدُوْنَ وَجْهَ اللّٰهِ فَاُولٰۤىِٕكَ هُمُ الْمُضْعِفُوْنَ
Terjemahannya bermaksud: “Dan sesuatu riba (tambahan) yang kamu berikan agar harta manusia bertambah, maka tidak bertambah dalam pandangan Allah. Dan apa yang kamu berikan berupa zakat yang kamu maksudkan untuk memperoleh keredaan Allah, maka itulah orang-orang yang melipatgandakan (pahalanya).”
Dalam surah Ali Imron ayat 130 pula Allah SWT berfirman:
يٰٓاَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوْا لَا تَأْكُلُوا الرِّبٰوٓا اَضْعَافًا مُّضٰعَفَةً ۖوَّاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَۚ
Terjemahannya bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan riba dengan berlipat ganda dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.”
Penjelasan daripada atas ayat tersebut memberikan sebab kenapa riba diharamkan oleh Allah SWT. Dari ayat tersebut di atas, boleh difahami beberapa alasan akan keharaman riba, seperti berikut:
Pertama, riba dapat menghilangkan sikap saling tolong-menolong. Sebagaimana pada awalnya, bahawa Islam adalah agama yang terkenal dengan amalan tolong-menolong sesama manusia. Islam menuntut kita untuk memberikan kelebihan harta kepada orang lain yang kekurangan. Sementara riba tidak demikian, kerana ia memusnahkan sikap saling menolong menolong sebab menuntut orang lain membayar lebih atas apa yang dipinjamnya.
Contohnya, jumlah diberikan pinjaman adalah sebanyak RM1,000, namun jumlah wang yang perlu dibayar semula mencecah RM1,100. Maka RM100 itu adalah riba, tidak kira sama ada wujud rasa tertindas atau tidak terhadap peminjam wang berkenaan. Contoh paling popular sekarang ini adalah pinjaman wang di bank konvensional untuk membeli kenderaan, rumah, pinjaman peribadi atau modal perniagaan dengan faedah.
Penalti tambahan yang dikenakan bank akibat lewat bayar juga dikira riba. Contohnya, peminjam perlu membayar RM3,000 dalam tempoh lima bulan. Namun, jika peminjam tidak membayar dalam tempoh itu, dan bank membenarkan penangguhan bayaran tetapi dikenakan syarat daripada RM2,000 menjadi RM2,050 kerana lewat bayar. Lebihan RM50 itu adalah riba.
Riba juga boleh berlaku dalam pertukaran barang dengan barang yang diklasifikasikan sebagai ribawi, termasuklah penukaran emas lama seberat dua gram dengan emas baharu dua gram. Namun, dalam proses itu, jika berlaku ertambahan atau pengurangan, maka ia adalah riba.
Bahaya kedua riba menurut Islam adalah ia bersifat merampas kekayaan orang lain dengan cara yang batil. Riba diharamkan oleh Allah SWT kerana sedar atau tidak telah menbenarkan dari segi undang-undang akan amalan perampasan kekayaan terhadap golongan yang berhutang. Biasanya peminjam adalah golongan yang memerlukan bantuan kewangan tetapi riba menyebabkan mereka ditindas.
Satu lagi bahaya riba dalam perspektif Islam adalah ia menjadikan individu bersikap malas. Riba boleh membentuk orang menjadi malas, dengan hanya menggandakan wang tambahan daripada hasil riba. Pihak yang memberikan pinjaman berkemungkinan tidak lagi berusaha mencari nafkah, tetapi cukup hanya dengan meraih keuntungan daripada penggandaan wang haram hasil tuntutan riba terhadap peminjam. – HARAKAHDAILY 16/3/2023