Harga rumah sama, tapi saiz dikecilkan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menjelaskan faktor saiz rumah projek perumahan mesra rakyat yang dimajukan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) di Terengganu menjadi lebih kecil.

Dato’ Dr Alias Razak (PN-Kuala Nerus) berkata, bajet dan anggaran kos yang disediakan untuk projek perumahan mesra rakyat adalah RM70,000 bagi seunit yang ditenderkan kepada kontraktor.

- Advertisement -

Katanya, kerajaan pula menyediakan subsidi sebanyak RM20,000 seunit dan rakyat yang layak menerima perlu membayar baki sebanyak RM50,000.

Namun katanya, kini timbul masalah apabila saiz rumah berkenaan dikecilkan daripada 1,000 kaki persegi kepada 750 kaki persegi.

“Ini sudah tentu akan memberi keadaan yang tidak selesa kepada keluarga tersebut apatah lagi jika mereka mempunyai anak empat hingga lima orang. Impaknya tentulah kepada keselesaan penghuni,” katanya semasa perbahasan peringkat jawatankuasa Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan di Dewan Rakyat, hari ini. .

Dr Alias berkata, saiz lebih kecil akan memberi masalah kepada anak-anak, terutama remaja kerana mereka akan berasa tidak selesa di rumah.

Katanya, akhirnya mereka akan memilih mencari ketenangan di luar rumah dan berkawan di luar dengan rakan sebaya yang jika tidak diawasi, dikhuatiri terjebak dalam masalah sosial.

Justeru, beliau mempersoalkan sama ada kerajaan telah melaksanakan kajian komprehensif berhubung impak pengecilan saiz rumah ini terhadap penghuni rumah mesra rakyat yang sedang dilaksanakan sekarang. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -