Cagar wang KWSP seperti ‘gali lubang tutup lubang’

Kira-kira 44 peratus daripada 16.7 juta tenaga buruh di negara ini tiada caruman KWSP.
- Advertisement -

AYER KEROH: Cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membolehkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menggunakan wang caruman sebagai cagaran kepada bank bagi tujuan pembiayaan kewangan seolah-olah ‘gali lubang tutup lubang’.

- Advertisement -

Ketua Pembangkang, Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub, rakyat yang terkesan akibat wabak Covid-19 sepatutnya diberi kebenaran mengeluarkan wang caruman KWSP.

Katanya, tidak sepatutnya kerjaaan meminta pencarum membuat hutang dengan bank dan menggunakan wang caruman sebagai cagaran.

“Rakyat pelik cadangan Perdana Menteri mengenakan syarat untuk mengeluarkan duit yang mereka simpan di KWSP. Ini seperti menggali lubang baharu,” katanya pada persidangan DUN Melaka semalam.

Dr Mohd Yadzil berkata, kerajaan negeri dan pusat mungkin tidak mampu memberi bantuan kewangan terhadap golongan terkesan.

Sedangkan katanya rakyat perlukan wang untuk membayar yuran sekolah anak dan menyediakan peralatan persekolahan.

Menurutnya wang simpanan di KWSP sebagai bekalan hari tua boleh dicarum semula selepas keadaan ekonomi rakyat stabil.

“Duit yang terkumpul dalam KWSP nanti belum tentu dapat digunakan untuk membeli rumah baru kerana harga rumah semakin meningkat,” katanya yang juga Adun Bemban. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -