Apa perkembangan projek tebatan banjir Krubong?

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) meminta Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, menjelaskan status menaik taraf projek tebatan banjir Krubong.

“Kalau kita lihat peruntukan yang diperuntukkan dalam butiran ini tinggi, RM117 juta. Saya berharap supaya projek ini dapat diberi perhatian oleh kementerian,” ujarnya.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian semasa perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan lapan projek bernilai RM931.2 juta bagi mengatasi masalah banjir yang sering melanda Melaka.

Antara projek tersebut, katanya ialah projek tebatan banjir Sungai Melaka Fasa 1, menaik taraf kolam tebatan banjir Krubong, Sungai Duyong, Alor Gajah, Merlimau dan beberapa projek lain.

“Tetapi saya ingin fokus kepada Tangga Batu, iaitu tebatan banjir Krubong kerana ia melibatkan Kampung Lanjut Manis, Kampung Krubong, Tanah Merah, Belimbing Dalam, walaupun dalam Parlimen Alor Gajah.

“Dan juga sebuah sekolah agama, iaitu Sekolah Agama Al-Munawwarah. Banjir di sini bukan banjir bermusim, tetapi bila hujan lebat akan banjir,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -