Ambil tindakan tegas perbuatan promosi LGBT

- Advertisement -

GOLONGAN yang menyokong ideologi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) tidak wajar berlindung di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan atas nama hak kebebasan bersuara dan berhimpun.

Hal ini kerana Perlembagaan sendiri telah meletakkan had dan batasan kepada kebebasan yang diperuntukkan terutamanya apabila ia menyentuh isu-isu sensitif atau perkara-perkara yang boleh menimbulkan fitnah, hasutan, salah faham dan ketegangan dalam masyarakat. 

Oleh itu, penguatkuasaan tegas perlu diambil kepada pihak-pihak yang menyalahgunakan hak untuk berhimpun bagi mengangkat agenda LGBT di bawah peruntukan undang-undang sedia ada seperti Akta Hasutan, Akta Perhimpunan Aman dan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan).

Perkembangan yang berlaku dalam negara beberapa tahun kebelakangan ini sangat merisaukan melihat kepada tindakan sesetengah pihak yang tekal memperjuangkan hak dan kesamarataan golongan LGBT dalam negara ini untuk mengikis sensitiviti masyarakat. 

Kerajaan PERIKATAN NASIONAL sebelum ini telah meletakkan batu asas yang jelas dengan penubuhan Jawatankuasa Bertindak (Taskforce) Pasukan Petugas bagi menangani perkembangan budaya LGBT dalam negara ini. Kajian terhadap Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 telah dimulakan bagi memastikan tindakan yang sewajarnya dapat diambil terhadap golongan ini. 

Usaha telah pun dimulakan oleh kerajaan yang dahulu dan perlu diteruskan oleh kerajaan hari ini bagi memastikan kerangka perundangan yang ada bersifat komprehensif dalam mengekang aktiviti mempromosi perbuatan LGBT, dan tidak terhad kepada kesalahan-kesalahan luar tabii di bawah Seksyen 377A hingga D Kanun Keseksaan, dan kesalahan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Negeri-negeri sahaja. 

Pada masa yang sama, program-program bimbingan dan advokasi juga perlu terus diperkasakan oleh kerajaan hari ini. Sehingga Mac 2022, jumlah peserta Mukhayyam untuk komuniti LGBT telah pun mencecah sehingga 1,769 orang. 

Kita mengharapkan agar kerajaan tidak tunduk kepada desakan pihak-pihak yang ingin menghentikan program ini dengan menggambarkannya sebagai amalan terapi pertukaran dari Barat.

Program-program susulan dan sokongan seperti usrah, kelas pengajian dan modal awal perniagaan untuk ekonomi sara hidup sama ada melalui inisiatif komuniti sendiri atau agensi kerajaan perlu terus diperbanyakkan. 

Langkah mengekang promosi ideologi LGBT perlu dilakukan secara berterusan dan tegas untuk memastikan ianya tidak tersebar dan menular dalam masyarakat serta dalam masa yang sama memberikan amaran kepada kelompok yang berterusan menyentuh isu-isu berkaitan sensitiviti umat Islam di Malaysia. 

Kita seharusnya menyediakan satu tembok yang kukuh bagi membentengi kemasukan budaya yang merosakkan keharmonian masyarakat.

Sekian, terima kasih. 

YB USTAZ IDRIS AHMAD
Ketua Portfolio Agama, Sosio Budaya & Generasi Muda 
Ahli Parlimen PERIKATAN NASIONAL – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -