14 maut, banjir kilat landa lokasi gempa bumi Turkiye

Dua penyelam pasukan polis Turkiye mencari mangsa yang mungkin terselamat dalam banjir kilat di Sanliurfa, tenggara Turkiye pada 15 Mac 2023. (FOTO: BBC)
- Advertisement -

ANKARA: Sekurang-kurangnya empat belas orang maut dan beberapa yang lain hilang selepas banjir kilar melanda jalan-jalan raya di dua bandar di tenggara Turkiye yang musnah akibat gempa bumi bulan lalu.

Antara mangsa yang maut adalah mereka yang terselamat daripada gempa bumi sebelum ini yang  tinggal di rumah kontena sejak bencana itu melanda, lapor BBC.

Visual yang dirakam menunjukkan banyak kenderaan  terhempas di atas air banjir melalui jalan-jalan raya di Sanliurfa, lokasi di mana 12 orang maut; manakala sebuah kontena yang menempatkan dua keluarga di Adiyaman pula terperangkap dalam banjir. 

- Advertisement -

Seorang wanita yang tinggal di dalam kontena itu adalah antara dua orang yang terbunuh di bandar itu. Beberapa orang lagi dilaporkan hilang, sementara penempatan khemah di situ telah dipindahkan.

Bencana terbaharu itu berlaku hanya lima minggu selepas gempa bumi berkembar pada 6 Feb lalu, yang telah mengorbankan 48,000 nyawa dan ramai hilang tempat tinggal.

Organisasi mencari dan menyelamat Afad berkata bahawa dalam satu tempoh 24 jam, 136 milimeter (5.4 inci) hujan telah turun di satu kawasan wilayah Adıyaman dan 111mm (4.4in) di Sanliurfa, yang menyaksikan satu pertiga daripada hujan tahunannya dalam dua yang lalu.

Gabenor Sanliurfa, Salih Ayhan, dalam satu kenyataan berkata wilayahnya tidak pernah melihat banjir seperti itu dan pegawai kerajaan merayu kepada penduduk untuk mengosongkan tingkat bawah dan ruang bawah tanah rumah.

Sementara mayat lima individu ditemui di pangsapuri bawah tanah dan media Turki berkata mereka adalah warga Syria. Mayat juga ditemui dari laluan bawah tanah di persimpangan jalan utama Abide.

Dua wilayah dyang dilanda gempa bumi dahsyat pada 6 Feb 2023 di Turkiye, Adiyaman dan Sanliurfa telah dilimpahi banjir kilat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 14 nyawa pada 15 Mac 2023. (FOTO: Daily Sabah)

Beberapa orang telah diseret air banjir kilat ketika berada  dalam kenderaan masing-masing akibat arus air banjir dan orang ramai yang cuba membantu mereka yang terkandas telah dihanyutkan.

Rakaman dramatik video menunjukkan  mengenai seorang lelaki ditarik keluar dari arus deras air banjir di Sanliurfa oleh seorang warga  tempatan yang menjuntai tali dari tingkap di tingkat bawah, yang mana penyelamatan serupa berlaku di persimpangan Abide.

Dua daripada yang hilang adalah anggota bomba, kata gabenor, yang merayu kepada penduduk supaya menjauhkan diri daripada air yang bergerak. 

Sebuah hospital dinaiki air dan 200 pesakit berpindah ke tempat lain dalam pada hujan dijangka reda menjelang akhir minggu ini.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan, yang sedang bergelut dengan kesan gempa bumi bulan lalu, menghadapi pilihan raya pada 14 Mei telah menghantar Menteri Dalam Negeri, Suleyman Soylu, ke kawasan terbabit banjir.

Tokoh pembangkang terkemuka juga akan melawat Sanliurfa, dan telah berikrar untuk membantu memenuhi keperluan penduduk yang terjejas. – HARAKAHDAILY 16/3/2023

- Advertisement -