Urusetia Penerangan Perlis kolaborasi agensi sedia ada

Megat Hashirat Hassan
- Advertisement -

KANGAR: Urusetia Penerangan Negeri Perlis (UPNPs) yang diwujudkan kerajaan negeri merangkumi dua kompenan pentadbiran utama iaitu eksekutif dan bukan eksekutif.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Megat Hashirat Hassan berkata, UPNPs akan berkolaborasi dan mengadakan sinergi dengan jabatan dan agensi sedia ada bagi memastikan promosi dan hebahan dapat diselaras dengan baik dan memberi impak positif.

Katanya pasukan eksekutif akan mengurus dan mentadbir organisasi dalam melakukan rumusan serta pelaksanaan aktiviti.

“Manakala pasukan bukan eksekutif pula akan bertindak sebagai think tank bagi menyusun strategi melibatkan pertimbangan, kritikan serta ulasan berkaitan isu atau dasar,” katanya menjawab soalan Asrul Aimran Abd Jalil (PN-Kayang) pada sidang DUN Perlis hari ini.

Menurut Megat Hashirat untuk peringkat awal, urusetia akan dibentuk melalui tiga teras utama iaitu penubuhan dan pemerkasaan perkhidmatan penerangan, pengukuhan organisasi dan tadbir urus yang dinamik.

Kata beliau juga hubungan dengan pengamal media sama ada arus perdana atau media sosial akan dikekalkan bagi memastikan berita mengenai Perlis menjadi hebahan umum.

“Sebagai contoh, berita mengenai harga makanan semurah RM2 disiarkan di dalam Buletin TV3 jam 8 malam pada 3 Februari lepas.

“Ini membuktikan Perlis mempunyai sesuatu info yang penting untuk tatapan masyarakat,” katanya.

Sebelum itu, Asrul Aimran meminta kerajaan negeri menyatakan penjenamaan baharu bagi memastikan pelbagai pelan, agenda dan aktiviti semasa kerajaan disiar di media perdana dan digital. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -