Takwa dan ‘roadmap’ kunci menang pilihan raya

- Advertisement -

BATU: Kemenangan dalam pilihan raya boleh diperolehi dengan menyusun atur setiap langkah dan disertakan ‘roadmap‘ yang mesti dilaksanakan, iaitulah ke arah untuk memartabatkan Islam.

Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man bagaimanapun mengingatkan, takwa perlu dijadikan strategi pertama  dan utama dalam perancangan dan kemuncak disasarkan itu.

Beliau melontarkan demikian ketika menyampaikan ucapan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Batu Kali Ke-38 yang dilangsungkan di Diomand Square, Setapak pada awal minggu baru-baru ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkongsi mengenai perancangan dan usaha dirangka oleh pimpinan parti dari tahun ke tahun, hinggalah untuk PRU15 lalu telah menyasarkan kemenangan di 40 kerusi Parlimen.

Alhamdulillah PAS telah memenangi 43 kerusi dan kesemuanya ini adalah bentuk pemberian Allah yang di luar jangkaan,” ujarnya yang juga ADUN Cheka, Pahang mengaitkan hal tersebut dengan takwa.

Sehubungan itu beliau membangkitkan motivasi PAS Batu yang seandainya serius mahu memenangi Parlimen tersebut mestilah memiliki takwa yang disusun bersama rangka perancangan dan usaha.

“Maka mesti ada ‘roadmap’ yang benar-benar dipantau dari semasa ke semasa. Kita bukan sengaja bertanding, tetapi ada sesuatu yang ingin dicapai untuk kebaikan Islam,” katanya.

Beliau dalam ucapannya turut mengingatkan semua perwakilan dan pemerhati untuk sama-sama perkukuhkan jemaah melalui program tarbiyah serta meneguhkan kepatuhan pada arahan pimpinan. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -