Tak terkesan US Dollar: Jawapan PM diragui

- Advertisement -

SAYA rasa agak janggal dengan respon Perdana Menteri terhadap soalan saya kepada beliau di Dewan Rakyat kelmarin bila beliau memberitahu pengukuhan Dolar Amerika (US Dollar) tidak memberi kesan kepada pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.

Negara Malaysia secara umumnya lebih banyak mengimport pelbagai barangan berbanding eksport. Jumlah import makanan terkumpul dalam tempoh 10 tahun adalah RM482.8 bilion, manakala eksport berjumlah RM296 bilion. 

Bukan sahaja produk makanan yang kita masih bergantung kepada import, produk lain dalam sektor pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, peralatan, machinery, produk pertahanan semua melibatkan kontrak luar negara yang sebahagian besar diikat dalam matawang asing terutamanya US Dollar.

Kedudukan ringgit yang terus menurun berbanding nilai US Dollar akan beri kesan kepada perbelanjaan kerajaan.

Pelbagai projek kerajaan yang dibuat anggaran belanjawan dan dianugerahkan kepada pelbagai kontraktor akan menanggung kos lebih tinggi bagi yang melibatkan bahan yang diimport dari luar negara.

Ia akan beri kesan prestasi kemajuan projek-projek pembangunan yang dirancang kerajaan. Akan tiba masanya projek yang dirancang kerajaan akan berhadapan kenaikan kos.

Dengan kedudukan kadar faedah OPR Rezab Persekutuan Amerika Syarikat yang 4 mata lebih tinggi dari kadar faedah yang dikekalkan oleh Bank Negara Malaysia sudah tentu tumpuan pasaran matawang untuk memegang lebih US Dollar yang dikira memberi pulangan jauh lebih baik dari ringgit.

Ini akan terus melemahkan nilai ringgit kerana pasaran modal lebih tertarik memegang US Stock Bonds.

Bursa Malaysia turut menyaksikan kemerosotan secara berterusan beberapa hari ini dan ada laporan hampir setengah bilion-ringgit keluar dari pasaran dalam tempoh yang agak pendek.

Saya fikir Perdana Menteri perlu memberikan maklumat dan penjelasan yang lebih jelas apa yang beliau maksudkan dengan kedudukan US Dollar yang semakin tinggi berbanding dengan ringgit hari ini tidak menjejaskan pendapatan dan perbelanjaan kerajaan.

Kontrak atau perolehan kerajaan bagi perolehan antarabangsa yang melibatkan tawaran dalam mata wang asing, adakah perjanjian itu akan mengikut kadar pertukaran semasa mata wang atau mengikut matawang yang sama seperti dalam tawaran yang dikemukakan?

Keadaan sekarang mungkin tidak seteruk ketika krisis matawang tahun 1997. Tetapi kita sepatutnya boleh menjangkakan langkah Amerika Syarikat yang terdapat banyak petunjuk akan terus meningkatkan kadar faedah. Kerana itu perlu ada strategi untuk menyerap kesan terhadap ringgit.

Adakah kerajaan bercadang untuk mengikat kadar tukaran ringgit dengan menggantung urusniaga ringgit seperti dilakukan oleh Tun Mahathir semasa krisis matawang 1997 sekiranya kejatuhan matawang ini berterusan dan menjadi kritikal? 

Adakah Malaysia mempunyai kekuatan fiskal secukupnya untuk berbuat demikian tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kerajaan? Atau adakah DS Anwar bercadang melibatkan International Monetary Fund?

DATO’ HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -