Semua keputusan mesyuarat MSN dalam tindakan

Dato' Siti Zailah Mohd Yusoff
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Semua keputusan yang telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) sedang dalam tindakan kementerian dan agensi masing-masing, kata Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

- Advertisement -

Kata KPWKM, status pelaksanaan keputusan-keputusan tersebut akan dibentangkan dan dilaporkan dalam mesyuarat MSN yang turut dianggotai oleh menteri-menteri yang berportfolio sosial.

Menurutnya, mesyuarat MSN dijadual diadakan secara berkala tiga kali setahun dan akan sentiasa memantau pelaksanaan keputusan- keputusan tersebut supaya selari dengan agenda pembangunan sosial semasa negara.

KPWKM menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff [PN-Rantau Panjang] di Dewan Rakyat.

Siti Zailah dalam soalannya meminta Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyatakan status perlaksanaan segala keputusan yang pernah diputuskan di dalam Majlis Sosial Negara sama ada akan diteruskan atau sebaliknya.

Kata KPWKM lagi, MSN juga berperanan untuk mendapatkan keputusan dasar tentang hala tuju sosial negara, mengenal pasti dan menyelesaikan isu-isu sosial secara holistik menggunakan pendekatan the whole of government approach.

Katanya, ia juga berfungsi untuk mengenal pasti dan membuat keputusan bagi menangani isu-isu yang berkaitan pembangunan sosial serta menilai program atau strategi pembangunan sosial.

“Dalam hal ini, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat selaku penyelaras dan urus setia MSN akan sentiasa memastikan dan memantau pelaksanaan keputusan mesyuarat ini oleh kementerian dan agensi yang terlibat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -