Selepas kejatuhan SVB: Bank Signature pula ditutup

Seorang pekerja keselamatan membaca akhbar di dalam salah satu bangunan cawangan Bank Signature di New York City, Amerika Syarikat pada 12 Mac 2023. (FOTO: REUTERS/Eduardo Munoz)
- Advertisement -

NEW YORK: Sebuah lagi syarikat perbankan, Bank Signature (Signature Bank) telah ditutup oleh Pengawal Selia Amerika Syarikat, selepas bank tersebut turut menghadapi masalah kewangan sehingga terpaksa diisytihar muflis pada 12 Mac 2023.

Bank tersebut telah menjadi sasaran penutupan seterusnya selepas pengisytiharan muflis oleh Silicon Valley Bank (SVB) pada 10 Mac lalu, yang menyebabkan pengeluaran wang simpanan besar-besaran oleh setiap pelanggannya menerusi apa yang lebih dikenali dengan istilah ‘bank run’, lapor CNBC.

Impaknya telah menyebabkan timbul rasa ketidakpercayaan rakyat AS  terhadap setiap institusi kewangan di negara itu, dan yang paling membimbangkan ia kini mula merebak di seluruh dunia.

- Advertisement -

Pakar Ekonomi Kanan Jabatan Monetari dan Pasaran Modal IMF, Jeanne Gobat berkata, kegagalan sesebuah bank akan ‘berjangkit’  menyebabkan kegagalan setiap bank yang lain. 

“Pada asasnya, perbankan adalah mengenai kepercayaan dan keyakinan, yang mana  bank diberikan kepercayaan untuk mempunyai (menyimpan) wang untuk menunaikan tanggungjawab terhadap setiap pelanggannya.

“Sebarang keretakan dalam kepercayaan dan keyakinan tersebut boleh mencetuskan pengeluaran besar-besaran oleh setiap pelanggannya dan juga menyebabkan kehancuran setiap bank,” katanya.

Bank Signature telah diasaskan pada tahun 2001 sebagai bank alternatif perniagaan yang lebih mesra kepada kepada bank-bank besar dan mula terlibat dalam industri matawang kripto (cryptocurrency) pada tahun 2018. 

Apa yang membuatkan Bank Signature menjadi lebih dikenali adalah bank ini merupakan antara satu-satunya yang menyediakan rangkaian pembayaran dua puluh jam seminggu (24/7) untuk pelanggan kripto; dan mempunyai deposit sebanyak AS$16.5 bilion daripada para pelanggannya yang terlibat dalam aset digital.

Sehubungan itu, pihak kerajaan AS melalui Perbadanan Insurans Deposit Persekutuan (FDIC) telah campur tangan terhadap masalah tersebut melalui penubuhan bank pengganti sebagai ‘jambatan’ kepada Signature Bank, yang akan membolehkan pelanggannya mengakses dana masing-masing. 

“Penyimpan dan peminjam Bank Signature secara automatik akan menjadi pelanggan bank pengganti tersebut,” ujar kenyataan FDIC. 

Walaupun begitu, laporan Global Times turut memberikan amaran supaya berjaga-jaga terhadap mana-mana bank lain di AS dan di seluruh dunia  yang bakal diisytihar muflis pada masa akan datang impak ‘jangkitan’  keruntuhan kedua-dua SVB dan Bank Signature. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -