Sasaran pengeluaran getah berkurangan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) meminta Kementerian Perladangan dan Komoditi menjelaskan penurunan sasaran pengeluaran getah tahun ini.

Berdasarkan belanjawan peringkat kementerian, katanya anggaran hasil pengeluaran getah disasar berkurangan daripada 1.58 tan per hektar turun kepada 1.44 tan per hektar.

- Advertisement -

“Kita berbahas dari hari permulaan tentang bajet dan sebagainya, rakan-rakan dari Sik dan sebagainya berbahas tentang bagaimana kita nak menolong pekebun-pekebun kecil dan sebagainya,

“Tetapi kita melihat kerajaan sendiri telah mensasarkan bahawa pengeluaran getah kali ini turun. Sepatutnya bila kita membuat dasar-dasar baharu menggunakan teknologi dan sebagainya, sepatutnya meningkat,” katanya.

Bakri yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian semasa perbahasan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau juga mengajukan persoalan tentang adakah kemungkinan penurunan sasaran pengeluaran getah ini berpunca daripada masalah ‘daun luruh’ atau ‘pestalotiopsis’?

“Kalau itulah yang menjadi faktornya, apakah tindakan kerajaan bagi mengatasi masalah penyakit daun luruh ini? Saya rasa kalau berlaku dua kali atau tiga kali setahun, memang pasti akan menjejaskan pendapatan pekebun kecil.

“Bagi saya, kalau getah ini daun dia luruh dan bila daun dia nak kembali berpucuk, biasanya produksi getah sangat-sangat minimum pada waktu itu,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan tentang langkah-langkah yang diambil kerajaan sekiranya penurunan ini berpunca daripada masalah tersebut. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -