Pemaju perlu patuhi syarat kelulusan PBT

Fakhrul Anwar Ismail
- Advertisement -

KANGAR: Projek pembinaan 21 unit kedai dan pejabat di hadapan Taman Haz Melati di Beseri, Padang Besar sehingga sekarang mencapai kemajuan hampir 90 peratus.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Fakhrul Anwar Ismail berkata, syarikat pemaju dipastikan menyiap projek tersebut dengan mematuhi kelulusan yang diberi.

Katanya, projek terbabit dilaksanakan Syarikat KSKPs Holdings Sdn Bhd mendapat kelulusan Pelan Kebenaran Merancang pada 30 April 2013.

“Manakala kelulusan Pelan Kerja Tanah pada 31 Mei 2013 dan kelulusan Pelan Bangunan pada 1 Julai 2013,” katanya menjawab soalan Haziq Asyraf Dun (PN-Beseri) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini, hari ini.

Bagaimanapun katanya Pelan Jalan dan Parit projek tersebut belum lagi mendapat kelulusan.

Menurutnya keadaan itu berlaku kerana pelan tidak selaras dengan Pelan Kebenaran Merancang yang diluluskan, di mana penyediaan jalan utama dalam Pelan Kebenaran Merancang selebar 50 kaki.

“Tetapi susun atur jalan utama yang ditunjukkan dalam Pelan Jalan dan Parit selebar 28 kaki sahaja.

“Sehubungan itu pihak pemaju perlu membuat pindaan Pelan Jalan dan Parit supaya selaras dengan Pelan Kebenaran Merancang dan perlu mengemuka Pelan Jalan dan Parit yang baharu kepada Majlis Perbandaran Kangar (MPK),” katanya. – HARAKAHDAILY 15/3/2023

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

- Advertisement -