Pekebun nenas di Johor rugi RM8.41 juta

- Advertisement -

PEMUDA PAS melahirkan rasa dukacita dengan berita yang dimaklumkan Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Nenas Malaysia (LPNM) Mohd Khairuzamri M Salleh bahawa terdapat seramai 54 pekebun nenas di Johor telah mengalami kerugian sehingga RM8.41 juta dengan kawasan tanaman seluas 99.35 hektar yang terjejas akibat banjir besar yang melanda Negeri Johor baru-baru ini.

Dalam tragedi yang menghibakan para pekebun nenas di Negeri Johor ini juga, sebanyak 3.6 juta pokok nenas jenis MD2 dan Josapine telah turut musnah akibat daripada banjir besar ini dan daerah Batu Pahat telah merekodkan jumlah kerosakan yang paling tinggi kerana banjir termenung yang menyebabkan nenas rosak akibat bakteria bawaan air.

Sebagai sebuah negeri pengeluar nenas terbesar di Malaysia kami memohon agar Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu untuk cakna dan turun ke lapangan menyantuni para pekebun serta pengusaha nenas yang terjejas akibat daripada banjir baru-baru ini.

Para pengusaha industri nenas khususnya di peringkat penanaman perlu diberikan perhatian yang sangat tinggi oleh pihak YB Datuk Seri Menteri. Kebun mereka dinaiki air sehingga berlaku kerosakan pada tanaman nenas, ada yang sedang berbuah, ada yang baru mula menanam, dan ada juga sedang membesar dalam lingkungan usia sekitar enam hingga tujuh bulan.

Kami Pemuda PAS Johor dengan sepenuh hati memohon agar pihak YB Datuk Seri Menteri dapat mengamati rayuan kami ini kerana tanpa mereka para pekebun serta pengusaha nenas ini, negara kita pastinya tidak akan mampu menyediakan bekalan nenas berkualiti seperti yang diperlukan. 

Bantuan yang bakal diberikan bukan sekadar hanya berbentuk wang saguhati bahkan juga turut meliputi perkara bukan tunai seperti gantian benih, baja, infrastruktur seperti parit, jalan ladang atau bangunan sesuai dengan bencana serta tragedi yang menimpa para pekebun ini.

Kami juga berharap agar pihak kementerian dapat mengusahakan projek-projek mega yang dapat membendung masalah atau tragedi seperti ini daripada berlaku sekali lagi sekali gus memberikan kerugian yang teramat besar kepada para pekebun-pekebun kecil yang mana mereka ini hakikatnya adalah nadi kepada industri negara.

Cukuplah sebelum ini kita mengambil pendekatan ‘wait and see’ sehingga menyebabkan kerugian besar kepada mereka dan negara. Pendekatan ‘proactive approach’ mestilah dilancarkan untuk berhadapan dengan bencana alam seperti ini pada masa akan datang demi keterjaminan makanan dalam negara kita. Sekian.

USTAZ AHMAD NAWFAL MAHFODZ
Pengerusi Lajnah Tanah dan Peneroka,
Dewan Pemuda PAS Malaysia 
Ketua Pemuda PERIKATAN NASIONAL Johor – HARAKAHDAILY 15/3/2023

- Advertisement -
- Advertisement -